Dana 1MDB: Nazir akan beri kerjasama kepada SPRM

NAZIR RAZAK
NAZIR RAZAK
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana 1MDB berjumlah RM25.7 juta yang dipindahkan ke akaun bank atas namanya pada 2013.

Menurut beliau, wang berkenaan dari dana politik yang sah dan digunakan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

"Seperti yang saya sahkan sebelum ini, Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas Perdan Menteri) memindahkan RM25.7 juta ke akaun atas nama saya pada 2013.

"Dana itu telah dikeluarkan secara tunai kepada wakil Najib dan saya turut difahamkan ia adalah untuk kegunaan kempen pilihan raya serta tidak ada satu sen yang dipegang atau digunakan oleh saya.

"Saya bertindak dengan niat baik untuk memenuhi permintaan abang saya membantunya dalam kempen PRU13 dan pada masa itu. Saya dimaklumkan bahawa dana itu berasal dari dana politik yang sah dan tidak mempunyai sebab untuk berfikiran sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nazir yang juga adik kepada Najib berkata, merujuk pertalian antara 1MDB dengan dana yang dipindahkan Najib itu menyebabkan beliau secara sukarela mengambil cuti daripada kedudukannya di CIMB bagi memberi ruang pada Lembaga Pengarah Kumpulan CIMB dan CIMB Bank untuk menjalankan siasatan sepenuhnya.

"Mereka (Lembaga Pengarah CIMB dan CIMB Bank) melakukan siasatan dengan bantuan firma akauntan dan perundangan. Berdasarkan hasil siasatan, saya dibersihkan daripada sebarang salah laku," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau berjanji memberi kerjasama dan menghormati pihak berkuasa melakukan siasatan.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengumumkan seramai 80 individu dan entiti sudah menerima notis kompaun bernilai RM420 juta daripada SPRM berkaitan kes 1MDB.

Nama Nazir antara yang tersenarai daripada 80 individu berkenaan.