X

Kindly register in order to view this article
!

'Program Subsidi Petrol beri impak kenaikan barang'

Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A

SHAH ALAM - Pas menggesa kerajaan mengkaji semula Program Subsidi Petrol (PSP) kerana dilihat tidak menyelesaikan masalah dan dibimbangi akan terus membebankan rakyat.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, subsidi berkenaan tidak membantu seluruh rakyat menikmati harga petrol RON95 yang munasabah.

Menurutnya, pelaksanaan subsidi petrol perlu mengambil kira kepentingan pengguna lain terutama dalam kalangan M40, rakyat Sabah dan Sarawak.

“Harga RON95 pula tidak lagi dikekalkan pada kadar RM 2.08 sen seliter. Hal ini akan menyebabkan harga petrol melonjak naik pada waktu tertentu dan akan memberikan impak kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain.

“Semua pengguna RON95 akan menanggung kenaikan tersebut malah jumlah subsidi RM1 sehari bagi penerima PSP tidak memberi kesan besar sekiranya harga melonjak naik.

“Isi rumah yang besar dengan pendapatan sebulan RM4,001 sehingga RM5,000 juga akan terbeban. Pada masa yang sama kos sara hidup pada hari ini tidak menunjukkan penurunan. Keadaan ini akan terus memangsakan majoriti rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, PSP tidak menyelesaikan masalah utama tetapi hanya memberi jalan penyelesaian jangka pendek sahaja.

Beliau turut mempersoalkan kontrak berjumlah RM25.03 juta yang dianugerahkan kepada GHL Transact Sdn Bhd pada bulan Mac lalu.

“Apakah sistem perisian (software) dan perkakasan (hardware) yang telah dibangunkan untuk PSP ini?,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus