Isu orang tak bernegara perlu perhatian antarabangsa

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu orang tidak bernegara adalah masalah kritikal yang memerlukan perhatian masyarakat antarabangsa kerana ia boleh memberi impak negatif bukan sahaja kepada negara terbabit bahkan seluruh rantau.

Bercakap di Geneva, Switzerland, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia sendiri berhadapan dengan masalah lambakan orang tidak bernegara dari rantau Asia sejak sekian lama.

"Walaupun kita tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 kita sebaliknya telah menerima sejumlah besar orang tidak bernegara dari rantau Asia terutama dari Myanmar, dan jumlahnya semakin bertambah.

"Kesannya kita bukan sahaja terpaksa menanggung beban kewangan sebagai tuan rumah malah perlu menangani pelbagai risiko keselamatan dan masalah sosial," kata Muhyiddin pada Isnin dalam ucapan wakil negara tentang orang tidak bernegara di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di bandar raya Eropah itu.

Sungguhpun begitu beliau menegaskan kerajaan Malaysia tetap komited untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) dalam usaha menangani masalah itu.

Teks ucapan beliau diedarkan kepada media di sini.

Muhyiddin tiba pada Ahad lalu untuk lawatan kerja empat hari ke Geneva untuk menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi Berhubung Orang Tanpa Negara yang merupakan antara program sempena sesi ke- 70 jawatankuasa eksekutif (ExCom) UNHCR.

Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Filippo Grandi, Pesuruhjaya Tinggi UNHCR bagi membincangkan peranan Malaysia dalam menyokong pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan serta membincangkan tentang pengurusan pelarian dan pencari suaka di Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: