PH dianggap berjaya jika mampu tingkat peruntukan institusi Islam

Dr Zaharuddin Abdul Rahman
Dr Zaharuddin Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggap berjaya daripada perspektif umat Islam di negara ini sekiranya mampu mengekalkan atau menyediakan peruntukan lebih kepada institusi agama Islam dalam Belanjawan 2020 Jumaat ini.

Profesor Adjung, Fakulti Perniagaan&Perakaunan, Universiti Selangor (Unisel), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, perspektif tersebut adalah susulan daripada hasil dan statistik undi popular Melayu-Islam yang dikeluarkan Ilham Center bahawa pengundi Melayu-Islam merupakan penyokong minoriti kepada PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurutnya, ia juga berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Kongres Maruah Melayu semalam yang mengakui bahawa kemelayuan dalam barisan Kabinet beliau semakin berkurang, namun masih kekal utuh.

“Di samping itu, langkah ini juga menunjukkan walaupun majoriti pengundi Islam tidak sokong PH dan kuasa Melayu kurang dalam kerajaan tapi kepimpinan Muslim yang ada masih lagi berjaya mengekalkan atau menambah bajet kepada institusi Islam.

"Contohnya seperti tahun lepas yang mana bajet kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meningkat kepada RM1.2 bilion berbanding tahun sebelumnya hanya RM1.1 bilion,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) sehubungan itu berkata, semua institusi Islam perlulah lebih bijak dan jelas matlamat ketika menyerahkan permohonan bajet kepada Kementerian Kewangan.

Ini kerana katanya, peruntukan dalam bajet kerajaan ketika ini berdasarkan pendekatan bajet asas sifar (Zero-Based Budgeting).

Dari sudut itu jelasnya, pengurangan peruntukan boleh berlaku sekiranya pihak pengurusan agensi Islam dalam kerajaan gagal melaksanakan perancangan konkrit, sekali gus menyebabkan mereka gagal meneruskan peningkatan peruntukan seperti tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

“Contohnya, kalaulah ada institusi minta RM100 juta pada tahun lepas tapi mereka hanya buat separuh sahaja perancangan dan terbukti impak programnya rendah dan kurang berkesan, justeru sudah tentulah pada tahun ini akan pasti berkurangan peruntukannya disebabkan mereka tidak pandai rancang dan tidak cekap urus,” katanya.

Beliau juga tidak menolak pengurangan bajet boleh berlaku kepada institusi agama sekiranya kerajaan mengambil kira untuk menyalurkan peruntukan kepada kementerian atau mana-mana agensi yang lebih cekap dan lebih mampu mencapai matlamat kesejahteraan rakyat dalam bidang-bidang lain.