Kes Adib: Pemuda UMNO Kedah desak proses susulan dipercepat

Mohd Fadzil (duduk, tengah) bersama seluruh kepimpinan Pemuda UMNO Kedah pada sidang media semalam.
Mohd Fadzil (duduk, tengah) bersama seluruh kepimpinan Pemuda UMNO Kedah pada sidang media semalam.
A
A
A

JITRA - Pemuda UMNO Kedah mendesak proses susulan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dipercepatkan kerana hampir dua minggu keputusan inkues diumumkan namun masih belum ada apa-apa tindakan dari Pejabat Peguam Negara setakat ini.

Ketua Pemudanya, Mohd Fadzil Zolkifli berkata, jangan biarkan sahaja kes tersebut berlalu tanpa sebarang pembelaan hanya disebabkan Allahyarham adalah pegawai bomba rendah dan ibu bapanya pula hanya orang kampung.

Menurutnya, kes berkenaan tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya sekiranya Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas masih belum melepaskan jawatan.

"Sudah hampir dua minggu keputusan mahkamah koroner yang memutuskan kematian ahli bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah disebabkan oleh wujudnya unsur pembunuhan.

"Tetapi sehingga sekarang orang yang disyaki terlibat belum dikenakan sebarang dakwaan oleh Pejabat Peguam Negara.

"Polis pula hanya menunggu arahan dari Peguam Negara yang sepatutnya orang disyaki ditahan kembali," katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Pemuda UMNO Kedah bersama Kelab Media Elit Kedah di Darulaman Golf & Country Club dekat sini semalam.

Mohd Fadzil berkata, ramai pihak mendesak agar Tommy dipecat namun sehingga kini belum ada sebarang maklum balas daripada kerajaan sebaliknya hanya diam seribu bahasa.

"Jika beliau enggan melepaskan jawatan kami mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Tommy dan menggantikannya dengan orang lain.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kami adakah kerajaan bersikap memilih dalam kes Allahyarham Muhammad Adib ini atau peguam negara dilindungi oleh tangan-tangan di peringkat tertinggi," katanya.

Jelasnya, Pemuda UMNO Kedah hilang keyakinan keadilan dapat ditegakkan selagi Tommy berada di kerusi peguam negara berikutan afidavit pejabat beliau yang menolak kematian Muhammad Adib kerana dipukul sedangkan kes tersebut masih berjalan di mahkamah koroner.

"Kematian Muhammad Adib harus mendapat pembelaan sewajarnya, ia bukan lagi soal kematian semasa bertugas tetapi juga melibatkan soal integriti kerajaan," katanya.