Amanat Dr Mahathir hanya sentuh kelemahan Melayu

Rizam
Rizam
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa hanya menyentuh mengenai kelemahan kaum Melayu menerusi ucapan amanat beliau dalam Kongres Maruah Melayu yang berlangsung di Stadium Melawati hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail berkata, Dr Mahathir juga dilihat tidak mengulas mengenai resolusi-resolusi yang dibentangkan menerusi kongres berkenaan.

Beliau berkata, resolusi itu adalah amat penting berikutan ia menjadi kayu pengukur kepada kerajaan hari ini dalam melaksanakan tuntutan kaum Melayu di negara ini.

"Walaupun kita tahu kerajaan hari ini ditunjangi oleh pemimpin orang Melayu namun jika mereka gagal bawa resolusi ini ternyata mereka hanya sebuah kerajaan retorik.

"Malah mereka juga akan menjadi kerajaan Melayu yang lemah di bawah tekanan bangsa-bangsa lain," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut Rizam berkata, resolusi yang dibentangkan oleh wakil-wakil universiti ini adalah sangat baik malah isinya juga tersusun rapi meliputi aspek pendidikan, ekonomi, agama dan kedaulatan negara.

Beliau berkata, Dr Mahathir mempunyai tanggungjawab besar bagi meyakinkan semula kaum Melayu seperti mana yang beliau harapkan di dalam ucapan amanatnya itu.

"Tapi kalau Dr Mahathir gagal laksanakan resolusi ini sudah tentu Melayu akan hilang kepercayaan kepada kepimpinan beliau," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Orang Melayu malu terima gaji RM1,100 sebulan tetapi...