X

Kindly register in order to view this article
!

Pertimbang cadangan elaun kritikal JBPM: Lam Thye

A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan diharap menimbang semula cadangan meningkatkan kebajikan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk elaun kritikal untuk jabatan itu.

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, disebabkan elaun kritikal tidak dapat diberikan pada tahun ini kerajaan diharap dapat memasukkannya bersama cadangan kenaikan gaji bagi anggota JBPM dalam Belanjawan 2020.

Menurutnya, cadangan untuk meningkatkan kebajikan anggota bomba perlu disokong oleh semua pihak kerana tugas pasukan itu kini lebih mencabar seperti agensi penting lain.

"Elaun kritikal tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 14,000 warga JBPM di seluruh negara. Dilaporkan jika elaun tersebut diluluskan sejumlah RM18 juta diperlukan untuk diedarkan kepada anggota bomba pada kadar RM200 seorang sebulan.

"JBPM juga bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan keselamatan dan pencegahan kebakaran serta menyediakan perkhidmatan bantuan kemanusiaan yang cekap dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lam Thye turut merujuk kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang prihatin terhadap keperluan meningkatkan kebajikan anggota bomba termasuk menyediakan elaun kritikal.

Menurutnya, kerajaan harus menyediakan peruntukan mencukupi bagi pembangunan sumber manusia JBPM supaya mereka mempunyai kemahiran teknikal menangani sebarang kes kecemasan termasuk untuk membeli jentera, peralatan canggih serta peralatan perlindungan diri (PBE) terkini.

"Saya juga berharap usaha berterusan dapat dilakukan untuk memperbaiki tempat kerja dan perumahan anggota bomba supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja sementara keluarga mereka pula hidup dalam suasana yang kondusif," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus