Malaysia benam cabaran Sri Lanka, 6-0

Aksi persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Sri Lanka yang berkesudahan skuad Harimau Malaya meraih kemenangan 6-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi. - Foto FAM
Aksi persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Sri Lanka yang berkesudahan skuad Harimau Malaya meraih kemenangan 6-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi. - Foto FAM
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya memperagakan aksi cemerlang apabila mudah mengetepikan cabaran Sri Lanka dengan melakarkan kemenangan bergaya 6-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kemenangan itu dilihat sedikit sebanyak mampu memberi suntikan semangat buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk berdepan Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi Khamis ini.

Beraksi di hadapan lebih 7,200 penyokong sendiri, skuad Harimau Malaya terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Muhamad Syafiq Ahmad seawal minit kelapan perlawanan hasil hantaran Muhammad Safawi Rasid.

Lima minit selepas itu, skuad Harimau Malaya berjaya mengukuhkan kedudukan apabila Shahrul Mohd Saad bijak menyempurnakan sepakan penjuru Muhammad Safawi untuk gol kedua Malaysia.

Skuad Harimau Malaya yang meneruskan rentak serangan tidak berdepan masalah untuk melebarkan jaringan apabila penyerang skuad Tok Gajah, Norshahrul Idlan Talaha meledakkan gol ketiga Malaysia hasil lorongan kemas Muhammad Akhyar Abd Rashid pada minit ke-16.

Tersentak dengan tiga jaringan itu, skuad kendalian Packeerali Mohamed Nizam mula memperkemaskan rentak permainan, namun jentera serangan yang diketuai Kurukulasuriyage Dilip Suraj Pieris gagal melepasi benteng pertahanan ampuh kawalan Mohd Aidil Zafuan Abd Razak dan gandingannya Shahrul Saad.

Bersambung babak kedua anak buah Cheng Hoe tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Mohd Akhyar bijak merembat masuk gol keempat Malaysia pada minit ke-50.

Skuad Golden Lion yang memperkemaskan benteng pertahanan mereka dilihat menyukarkan tuan rumah untuk melancarkan serangan, namun Muhammad Syafiq berjaya menambah duka Sri Lanka dengan jaringan kedua peribadinya dan gol kelima Malaysia pada minit ke-75 sebelum menyempurnakan hatrik jaringan pada minit ke-88 untuk kemenangan mutlak Malaysia 6-0.

Artikel Berkaitan: