Rasuah, salah guna kuasa rencat agihan ekonomi: Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, hari ini. FOTO: BERNAMA
Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, hari ini. FOTO: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perkara pokok yang merencatkan pengembangan dan pengagihan ekonomi negara adalah aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa, bukannya Agenda Bumiputera.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Agenda Pemerkasaan Bumiputera menerima impak besar daripada masalah tersebut apabila peluang dan sokongan yang sepatutnya diberikan kepada bumiputera telah disalahgunakan dan tiris kepada kumpulan yang tidak sepatutnya.

Menurutnya, sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat bumiputera yang telah ditetapkan dalam Dasar Ekonomi Baru juga masih lagi belum tercapai.

“Kesannya, jurang kedudukan ekonomi bumiputera tidak akan selesai. Kanser ini telah membarah dan pemulihannya harus dilakukan segera.

“Sebagai doktor, saya hanya melihat bagi mengubati kanser ini, ia harus dipotong dan dibuang,” kata Dr Mahathir dalam ucapan perasmian Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, peningkatan ekuiti asing juga membimbangkan.

Hasil kajian dan data terkumpul mengenai kedudukan ekuiti korporat Negara sehingga 2015 mendapati ekuiti korporat Bumiputera telah jatuh kepada 16.2 peratus manakala bukan bumiputera turun kepada 30.7 peratus dan pemilikan ekuiti asing meningkat kepada 45.3 peratus.

“Ini berbanding dengan pemilikan ekuiti korporat pada tahun 2011.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu, pemilikan ekuiti korporat bumiputera berada pada tahap 23.4 peratus, manakala bukan bumiputera memegang 34.8 peratus,” jelas Dr Mahathir.

Ekuiti asing ketika itu cuma sebanyak 37.2 peratus. - Bernama