UiTM, IPT didik graduan dengan nilai Rukun Negara: Agong

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
A
A
A
SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini mendidik graduan dengan nilai yang dituntut Rukun Negara.

Seri Paduka yang juga Canselor UiTM bertitah, ini kerana negara memerlukan pelapis warisan untuk mendukung amanah dan cita-cita yang dituntut Rukun Negara.

"Oleh yang demikian, graduan pada hari ini hendaklah merupakan graduan yang bijaksana, cenderung kepada kebajikan disulami nilai murni dan paling penting ialah graduan yang menjiwai Rukun Negara.

"Pada masa yang sama, usaha berterusan wajar dilaksanakan di seluruh pelosok negara ke arah memupuk kesedaran untuk menghayati dan mengamalkan Rukun Negara," titah Seri Paduka pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-91, di Dewan Agung Tuanku Canselor di kampus induk UiTM di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diiringi Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, Rukun Negara bukan sekadar dibaca pada setiap tahun ketika menyambut Hari Kebangsaan negara, sebaliknya semangat dan roh Rukun Negara hendaklah dijiwai dan diterapkan dalam setiap aspek kehidupan harian.

"Memetik kata-kata Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang telah membentuk formula dinamakan 'Rukun Negara': "Rahsia kesempurnaan Rukun Negara ialah pada amalannya. Tanpa amalan, Rukun Negara akan menjadi secebis dokumen yang tidak bermakna."

"Prinsip pertama ialah kepercayaan kepada tuhan. Ini bermakna negara ini dan rakyatnya dibentuk atas asas kepercayaan yang kukuh kepada tuhan," titah Seri Paduka.

Titah Yang di-Pertuan Agong, menerusi prinsip kedua Rukun Negara, raja bukanlah sekadar lambang tetapi merupakan payung kedaulatan negara.
Artikel Berkaitan:


Prinsip itu, titah Al-Sultan Abdullah, menuntut rakyat untuk mentaati raja dan negara dan bukan sebaliknya menjadi hamba kepada agenda perselisihan, pertikaian mahupun permusuhan.

"Prinsip ketiga ialah keluhuran perlembagaan yang menghendaki setiap rakyat Malaysia untuk memahami, mematuhi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

"Prinsip keempat pula menetapkan bahawa keadilan hendaklah diasaskan atas kedaulatan undang-undang dan menghormati serta mematuhi prinsip undang-undang adalah tanggungjawab setiap rakyat Malaysia, manakala prinsip terakhir menyarankan hubungan antara masyarakat berbilang agama dan bangsa dengan budaya hormat-menghormati," titah Al-Sultan Abdullah.

Dalam pada itu, Seri Paduka turut menzahirkan ucapan tahniah kepada graduan dan menyeru supaya UiTM terus memberi sinar ilmu kepada anak bangsa.

Seramai 24,914 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen UiTM kali ini yang berlangsung bermula hari ini sehingga Khamis depan di kampus induk dan 13 cawangan universiti itu di seluruh negara. - Bernama