KKM rampas produk tidak berdaftar bernilai RM31 juta

 Noor Hisham (empat dari kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Program Santuni Rakyat: Kenali Ubat Anda di Dewan Datuk Penggawa Permatang, di sini hari ini.
Noor Hisham (empat dari kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Program Santuni Rakyat: Kenali Ubat Anda di Dewan Datuk Penggawa Permatang, di sini hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan merampas produk tidak berdaftar berjumlah RM31 juta sehingga September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rampasan itu turut merangkumi produk tidak berdaftar yang mengandungi racun berjadual, produk tradisional dan produk kosmetik.

Menurutnya, ubat-ubatan itu diniagakan secara penjualan terus atau atas talian.

"Perkara ini menjadi fenomena yang amat membimbangkan," katanya pada Majlis Perasmian Program Santuni Rakyat: Kenali Ubat Anda di Dewan Datuk Penggawa Permatang, di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, trend perniagaan penjualan ubatan kini beralih kepada perniagaan dalam talian.

"Sememangnya ia telah memudahkan akses ubat kepada pengguna. Kalau dahulunya pengguna perlu sendiri ke farmasi atau kedai ubat tetapi hari ini mereka hanya menekan klik di rumah tanpa mengira waktu dan tempat," katanya.

Bagaimanapun katanya, trend tersebut juga mendedahkan pengguna kepada risiko menerima ubat tidak berdaftar, ubat tiruan, ubat dicampuri racun berjadual dan sebagainya.

Justeru katanya, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menubuhkan satu Seksyen Inteligens dan Forensik Siber pada tahun 2014 bagi mengawal penjualan produk farmaseutikal dan kosmetik dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Seksyen ini bertanggungjawab menyelaras dan memberi bantuan dalam aspek sokongan teknikal bagi kes melibatkan Internet dan aplikasi dalam talian termasuk mengumpul maklumat digital untuk tujuan tindakan penguatkuasaan," katanya.

Selain itu katanya, aktiviti penguatkuasaan juga diambil melalui Program Perkhidmatan Farmasi bagi menggiatkan aktiviti kesedaran pengguna melalui Kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat Online.

"Kempen yang sedang dijalankan sepanjang bulan Oktober ini bertujuan memberi pendidikan kepada orang awam tentang risiko pembelian ubat secara dalam talian.

"Kempen ini juga turut menekankan orang awam sentiasa membuat semakan terlebih dahulu maklumat yang terkandung dalam iklan ubat di Internet dengan memastikan produk yang diiklankan berdaftar dengan kementerian serta iklannya juga diluluskan Lembaga Iklan Ubat," katanya.