The Cave angkat kisah sebenar penyelamat Tham Luang

Jim Warny antara penyelam yang menyertai misi menyelamat tahun lalu. - Foto De Warrenne Pictures
Jim Warny antara penyelam yang menyertai misi menyelamat tahun lalu. - Foto De Warrenne Pictures
A
A
A

BANGKOK - Filem pertama penceritaan semula usaha menyelamat dalam gua yang menjadi perhatian dunia tahun lalu bakal menemui penonton di Thailand pada 28 November depan.

Ditulis dan diarahkan oleh pengarah Tom Waller, The Cave akan menampilkan dua bahasa iaitu Thailand dan Bahasa Inggeris.

Menariknya, pelakon utama filem tersebut adalah penyelam sebenar dari Thailand, Kanada, Findland dan China.

Menurut Waller, penggambaran filem yang dilakukan di Thailand, Ireland dan Wales itu berkisarkan tentang semangat sukarelawan penyelamat.

"Saya bertemu salah seorang penyelam Jim Warny dari Belgium yang terlibat dalam misi tersebut dan apabila mendengar kisahnya membuatkan saya yakin bahawa ia perlu diangkat ke layar perak," katanya.

Tom Waller memberi penerangan kepada pelakon The Cave. - Foto De Warrenne Pictures
Tom Waller memberi penerangan kepada pelakon The Cave. - Foto De Warrenne Pictures

Sebagai kumpulan diselamatkan, 12 remaja lelaki dan jurulatih pasukan bola sepak Wild Boars telah memberi hak media eksklusif kepada SK Global, sebuah syarikat hiburan Amerika Syarikat (AS) yang menerbitkan filem Crazy Rich Asians.

"SK Global tidak mempunyai hak ke atas remaja itu. Pada pendapat saya, kami menuju ke arah yang betul iaitu memberi lebih tumpuan kepada penyelamat," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Warny menyifatkan keputusannya untuk sama-sama menyertai projek The Cave selepas bertemu dengan Waller adalah satu-satunya cara untuk menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.

Katanya, dia diminta menyertai misi menyelamat oleh penyelam Britain yang ketika itu sudahpun berada di gua.

"Saya tidak perlu berfikir dua kali kerana ia adalah peluang sekali seumur hidup," katanya.

Bagi ketua kumpulan bantuan bencana Sirikorn Chiang Rai, Chukiat Luangsopapan yang mengetuai pasukan penyelamat pertama ke dalam gua pada malam pertama remaja terperangkap, misi itu adalah yang paling sukar dan mengajarnya banyak perkara baharu.

"Filem ini akan membantu orang ramai merasai sendiri apa yang dilalui pasukan penyelamat," katanya.

Kru produksi berjaya menghabiskan proses penggambaran dalam masa sehari di gua sebenar meskipun kawasan dalam gua ditutup atas faktor keselamatan dan kawasan sekitar gua dibuka sebagai tarikan pelancong.

Adegan dalam air pula dirakam di sebuah gua sementara di Bangkok dan memerlukan enam minggu untuk membina kolam renang.

"Tajuk filem adalah The Cave, jadi perlu ada gua di dalam cerita ini," akhiri Waller.

Pada Jun lalu 12 remaja lelaki berusia antara 11 dan 16 tahun terperangkap dalam gua Tham Luang bersama jurulatih mereka selepas hujan lebat menyebabkan paras air di dalam gua naik. - Agensi