PH celaru selesaikan masalah ekonomi negara

Mohd Nor (kiri) dan Mohd Khairuddin.
Mohd Nor (kiri) dan Mohd Khairuddin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menyifatkan pertimbangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ingin memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) memperlihatkan kerajaan sedang celaru dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan ekonomi negara hari ini.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Mohd Nor Hamzah berkata, Pas sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu telah mengemukakan cadangan memperkenalkan sistem cukai simpanan korporat dan cukai pegangan saham.

"Kenapa kerajaan tidak berusaha untuk laksana cukai korporat dicadangkan Pas dalam dokumen hijau (itu)? Suasana ini juga membuktikan kegagalan Menteri Kewangan, (Lim Guan Eng) dalam menyelesaikan masalah ekonomi negara.

"Dia (Guan Eng) tahu menyalahkan orang lain. (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad mesti menukar Menteri Kewangan atau rakyat tukar kerajaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, GST adalah cukai regresif menjadi punca kepada kenaikan barang.

Katanya, pengilang dan pemborong serta peruncit yang dikenakan GST, akhirnya akan menyerap kos cukai pada harga akhir dan malangnya pengguna akhir iaitu rakyat yang akhirnya dikenakan lagi cukai.

"Oleh kerana itu Pas menolak GST mahupun SST (cukai jualan dan perkhidmatan) tetapi menggesa dikenakan cukai terhadap kekayaan orang kaya iaitu cukai simpanan korporat dan cukai pegangan saham yang boleh menghasilkan pendapatan sehingga 60 bilion setahun.

"Terdapat syarikat korporat seperti (mengambil contoh) Puncak Niaga yang rugi tetapi mempunyai simpanan berbilion.

Artikel Berkaitan:

"Syarikat seumpama ini perlu dikenakan cukai simpanan untuk dipulangkan kepada rakyat," katanya.

Terdahulu Dr Mahathir berkata, kerajaan bersedia mengembalikan pelaksanaan GST sekiranya rakyat mahukan.

Beliau berkata, kajian semula perlu dilakukan sekiranya GST dikembalikan namun pelaksanaan semula GST tidak akan dimasukkan ke dalam pembentangan Belanjawan 2020 minggu depan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan perlu bersikap ‘berani kerana benar’ jika mendapati pengenalan semula GST dilihat sebagai penyelesaian terbaik dalam merancang dan menguruskan kewangan negara bagi menjamin kemakmuran bersama.

Dalam pada itu, Pas berharap kerajaan dapat menilai dan membuat kajian secara terperinci terhadap sistem percukaian korporat yang dicadangkan oleh Pas sebelum ini.