Taktik guna botol minuman isi arak buatan tumpas

Mohd Razlin (tengah) menunjukkan arak buatan sendiri yang diisi ke dalam pelbagai jenis botol minuman bagi mengaburi pihak berkuasa.
Mohd Razlin (tengah) menunjukkan arak buatan sendiri yang diisi ke dalam pelbagai jenis botol minuman bagi mengaburi pihak berkuasa.
A
A
A

PASIR PUTEH - Tindakan nelayan warga Vietnam mengisi arak buatan sendiri di dalam pelbagai jenis botol minuman gagal apabila taktik licik itu berjaya dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali.

Arak menggunakan beras dan campuran bahan kimia dipercayai dijual dengan harga RM40 hingga RM50 sebotol.

Ketua Bahagian Operasi dan Risik PPM Wilayah Tiga, Deputi Superintendan Mohd Razlin Abd Manaf berkata, rampasan bernilai RM9,150 itu dirampas dalam serbuan di sebuah jeti awam di Tok Bali semalam.

"Siasatan awal mendapati arak-arak itu dibawa masuk ke negara ini menggunakan jalan laut.

"Operasi ini kita jalankan bertujuan membendung kemasukan bahan itu yang dipercayai menjadi salah satu penyumbang kepada pelakuan jenayah dalam kalangan warga negara Vietnam di sini," katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PPM Wilayah Tiga Tok Bali dekat sini hari ini.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, arak berjumlah 274.5 liter itu ditemui dalam sebuah lubang di bawah jeti berkenaan.

Katanya, lubang sedalam dua meter itu dijadikan sebagai stor penyimpanan bagi mengaburi mata anggota penguat kuasa.

Mohd Razlin berkata, kesemua arak-arak itu akan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika serbuan dilakukan tiada sebarang tangkapan dilakukan.

"PPM Wilayah Tiga akan terus melipatgandakan operasi dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah di kawasan perairan negara," katanya.

Beliau berharap orang ramai dapat terus menjadi mata dan telinga PPM Wilayah Tiga dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah.