Enam maut jambatan runtuh di Taiwan

Jambatan itu terputus dua di bahagian tengah.
A
A

TAIPEI - Enam disahkan terbunuh selepas sebuah jambatan roboh di timur laut Taiwan pada Selasa lalu, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan pegawai tempatan.

Mereka yang terbunuh adalah nelayan dari Indonesia dan Filipina berusia antara 29 hingga 44 tahun.

Seramai 12 lagi dilaporkan cedera, kata pihak berkuasa.

Kejadian berlaku pada Selasa pagi di jeti nelayan Nanfang'ao, di wilayah Yilan.

Kebakaran turut tercetus sejurus kejadian selepas sebuah lori tangki terhempas ke atas bot nelayan yang berlabuh di bawah jambatan itu.

Video yang disiarkan media tempatan menunjukkan jambatan itu terputus dua di bahagian tengah.

Dibina pada lewat 1990-an, Jambatan Nanfang'ao sepanjang 140 meter dengan 15 meter lebar.

Ia merintangi laluan jeti nelayan Nanfang'ao. Kali terakhir kerja-kerja baik pulih jambatan berkenaan dilakukan pada 2016. - Bernama