Malaysia dipilih Pengerusi APCERT untuk 2019-2020

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia melalui CyberSecurity Malaysia telah dipilih sebagai Pengerusi Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT) untuk tempoh 2019-2020.

CyberSecurity Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat dan Persidangan Agung Tahunan APCERT ke-17 “Fostering A Safer Cyberspace Through Partnerships and Collaboration” di Singapura dari 28 September hingga 2 Oktober.

"CyberSecurity Malaysia, sebagai pengerusi, akan menggalakkan lebih banyak penglibatan ahli dalam usaha itu sambil terus menerajui Kumpulan Kerja Mitigasi APCERT Malwar iaitu inisiatif kerjasama antara negara-negara APCERT dan OIC untuk mengembangkan penyelidikan malware, analisis dan tindak balas untuk melindungi masyarakat daripada ancaman malware," kata kenyataan itu.

Ini kali kedua Malaysia dilantik sebagai Pengerusi selepas pelantikan pertama pada 2007.

Mesyuarat empat hari itu membincangkan mengenai pembangunan agenda keselamatan siber yang memfokuskan kepada membina kepercayaan di kalangan ahli dalam ekonomi digital dan meningkatkan perkongsian maklumat dan kerjasama dalam tindak balas insiden.

Mesyuarat itu dihoskan oleh Singapore Computer Emergency Response Team (SingCERT) dari Cyber Security Agency of Singapore (CSA).

CyberSecurity Malaysia adalah antara pengasas bersama APCERT pada 2002. Agensi itu kekal sebagai ahli jawatankuasa pemandu sejak penubuhannya dan akan berterusan sehingga 2020.

APCERT ditubuhkan oleh Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Komputer (CSIRT) yang terkemuka dan nasional dari rantau Asia Pasifik untuk meningkatkan kerjasama, tindak balas dan perkongsian maklumat di kalangan CSIRT di rantau ini. APCERT.

Artikel Berkaitan:

APCERT terdiri daripada 30 Pasukan Ahli Operasi dari 21 ekonomi di seluruh rantau Asia Pasifik termasuk empat Rakan Korporat dan satu Rakan Perhubungan. - Bernama