Dr Hamid Arshat kesal pejabat diserbu tanpa notis

Hantaran status FB Dr Hamid Arshat mengenai serbuan yang didakwanya dilakukan tanpa notis dan tanpa penjelasan yang jelas.
Hantaran status FB Dr Hamid Arshat mengenai serbuan yang didakwanya dilakukan tanpa notis dan tanpa penjelasan yang jelas.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar sakit puan dan perbidanan terkenal, Datuk Dr Hamid Arshat meluahkan rasa kesal apabila pejabatnya yang terletak di Plaza Damansara diserbu sekumpulan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.

Menurutnya, beliau terkejut dengan kedatangan kakitangan KKM yang tidak membawa notis serbuan dan tanpa menjelaskan tujuan serbuan itu dilakukan.

“Tanpa notis dan tanpa tujuan yang jelas, mereka datang dengan mengejut seolah-olah saya seorang penjenayah.

Pada hal saya telah berkhidmat sebagai doktor hampir 50 tahun dan sebagai pakar bidan selama 43 tahun.

“Saya berasa amat terkilan dengan layanan dan tindakan kasar kakitangan muda yang seperti gila kuasa,” tulisnya menerusi status yang dimuat naik di Facebooknya.

Menurut Dr Hamid ketika pejabatnya diserbu beliau sedang merawat pesakit di kliniknya di Taman Desa Medical Centre.

Dalam masa sama, beliau berkata, tidak ada salahnya jika pihak berkuasa menghubunginya terlebih dahulu dan menjelaskan kesalahan yang dilakukan sebelum melakukan serbuan ini.

“Tetapi perkara sebaliknya berlaku, mereka menyerbu sehingga keadaan pejabat saya kucar kacir dan tidak menjumpai apa-apa bukti kesalahan saya.

Artikel Berkaitan:

“Sungguh menyedihkan dengan tindakan kasar mereka ke atas kakitangan dan pejabat saya,” jelasnya dalam hantaran status yang menerima lebih 9,400 tanda suka dan dikongsi lebih 1,200 kali.

Kongsi Dr Hamid lagi, sekitar tahun 70- an dan 80-an, beliau dan rakan-rakannya yang bertugas sebagai doktor telah berkhidmat secara bertungkus lumus untuk memberi rawatan kepada pesakit tanpa mengira masa dan gaji.

“Saya pernah bekerja selama 72 jam berturut-turut dan dibayar sebanyak RM600 sebulan.

“Saya juga telah berkhidmat dengan KKM sebelum kakitangan yang membuat serbuan ini belum lahir ke dunia lagi,” katanya bernada kesal.