X

Kindly register in order to view this article
!

Curi balak, dua bakal didakwa

Pegawai Hutan Kanan, Mohd Yusof Othman memeriksa lori yang membawa muatan balak jenis keruing yang dicuri di Hutan Simpan Ibam berjaya ditahan di Jalan Felda Palong 5, Negeri Sembilan. - Foto :Jabatan Perhutanan Pahang Gambar kecil: Mohd Hizamri.
A
A

KUANTAN - Seorang pemandu lori dan kelindannya yang membawa muatan tujuh balak spesies keruing yang dicuri bernilai lebih RM12,000 di Jalan Muadzam Shah-Bahau, Negeri Sembilan bakal berdepan tindakan undang-undang.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kedua-dua lelaki berusia 30 dan 43 tahun itu didapati memindahkan balak berkenaan di Hutan Simpan Ibam ke negeri jiran.

Menurutnya, perkara ini diketahui selepas bahagian Penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) menjalankan siasatan lanjut terhadap dua individu yang ditahan di Jalan Muadzam Shah, kelmarin.

"Kita telah soal siasat dua individu itu dan menemukan tujuh lagi balak spesies sama bernilai RM8,900 dalam kawasan Hutan Simpan Ibam dipercayai akan dipindahkan secara berperingkat.

"Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM500,000 atau penjara 20 tahun atau keduanya sekali," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Hizamri berkata, semua bukti dan kertas pertuduhan kini sedang disediakan pegawai penyiasat bagi tindakan seterusnya.

Jelasnya, sekiranya siasat itu sudah lengkap, mereka akan berdepan dengan kes mahkamah.

"Kita percaya bukan dua individu ini sahaja yang terlibat malah turut membabitkan sindiket yang berpengalaman dianggotai empat hingga enam individu. Berdasarkan maklumat yang diterima mendapati aktiviti menebang kayu terbabit dilakukan waktu malam," katanya.

Sebelum itu, Mohd Hizamri berkata, pihaknya menerusi penguatkuasa PHD terpaksa mengejar pemandu lori itu sejauh 40 kilometer selepas melihat lori terbabit mencurigakan.

Katanya, pemandu itu tidak berhenti sewaktu ditahan sehingga membuatkan pihaknya mendapatkan bantuan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Palong dan Unit Penguatkuasa Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bagi mengejar lori terbabit.

"Selepas lima jam mengejar lori itu, akhirnya pemandu lori terbabit berhenti ditepi jalan di Felda Palong 5, Negeri Sembilan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hizamri berkata, pihaknya memandang serius kegiatan mencuri balak dan hasil hutan lain.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan bagi melumpuhkan aktiviti yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

"Pemantauan secara berterusan dibeberapa kawasan hutan simpan di negeri ini akan terus dilakukan, begitu juga aktiviti rondaan dan sekatan jalan raya dengan kerjasama agensi penguatkuasa turut dibuat apabila diperlukan.

"Saya yakin kerjasama semua pihak dan kesungguhan dilakukan bahagian penguatkuasa daerah dan negeri kegiatan mencuri balak dapat dilumpuhkan," katanya.