Lelaki OKU mengaku curi iPad

Tertuduh (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mencuri iPad.
Tertuduh (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mencuri iPad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencuri iPad pada 30 September lalu.

Tertuduh, Mohd Rizuan Mahmud, 36, didakwa mencuri iPad milik seorang wanita di kawasan parkir Pejabat Tanah Daerah Kuala Nerus.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan itu sekitar jam 10.20 hingga 11.15 pagi pada 30 September lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau dengan denda atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama dan boleh dikenakan sebatan bagi kesalahan kedua.

Tertuduh yang mengalami masalah bisu mengangguk kepala mengaku salah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 29 Oktober ini bagi sebutan semula kes kerana tiada jurubahasa isyarat untuk tertuduh mengemukakan rayuan serta tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.

Pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, kejadian itu berlaku sekitar jam 10.20 pagi ketika wanita berusia 33 tahun itu meletakkan kenderaan di kawasan parkir terbabit untuk ke kedai makan yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kereta.

Artikel Berkaitan:

Sebaik wanita itu kembali ke kereta jam 11.20 pagi, dia mendapati zip beg galas yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan kereta telah terbuka dan tablet yang dibekalkan oleh syarikat kepadanya telah hilang.

Mangsa yang mengalami kerugian RM1,600 kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Bertindak daripada laporan, polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Taman Semarak, Bukit Tunggal, di sini, jam 12.01 tengah malam, Selasa lalu.

Hasil pemeriksaan polis membawa kepada penemuan barangan itu di dalam kediaman berkenaan.