Suami isteri maut, kereta terbabas rempuh lori

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban awal pagi tadi.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban awal pagi tadi.
A
A
A

KUANTAN - Sepasang suami isteri maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka lima sekeluarga terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh @ Mohd Daud berkata, mangsa yang maut ialah Muhammad Noor Ramli, 31, yang memandu Perodua Myvi dan isterinya, Suriwati Mohd, 33, penumpang hadapan kereta berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun tiga anak mereka iaitu Arfaan Rakeen, 2, Areesh Razeen, 4, dan Aryan Rizqy Muhammad Noor, 6, mengalami cedera ringan.

Beliau berkata, siasatan mendapati kereta dipandu Muhammad Noor datang dari arah Kuantan menghala ke arah Seremban terbabas ke laluan lori dipandu, Md Kamarudin Ibrahim, 43, dari arah bertentangan lalu melanggar bahagian hadapan kanan lori.

"Akibat kemalangan itu Muhammad Noor meninggal dunia di tempat kejadian dan isterinya yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Muadzam Shah.

"Kira-kira jam 8 pagi tadi, pihak polis trafik terima maklumat daripada hospital memaklumkan bahawa Surawati meninggal dunia di wad kecemasan hospital itu," katanya.

Keadaan kenderaan mangsa sejurus kemalangan di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban awal pagi tadi.
Keadaan kenderaan mangsa sejurus kemalangan di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban awal pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, enam anggota bomba Muadzam Shah bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dan diserahkan kepada pihak polis.

"Bedah siasat akan dijalankan Hospital Muadzam bagi mengenal pasti punca kematian manakala kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian masih diteruskan," katanya.