Belanjawan 2020: Jangan pinggirkan nelayan

Golongan nelayan berharap adanya berita 'gembira' dalam pembentangan Bajet 2020 kali ini.
Golongan nelayan berharap adanya berita 'gembira' dalam pembentangan Bajet 2020 kali ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) berharap Bajet 2020 yang akan dibentangkan kerajaan pada 11 Oktober ini tidak meminggirkan golongan itu.

Pengerusi Penentu, Mat Yassim Mohamed berkata, pihaknya menaruh harapan tinggi agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat meneruskan bantuan sedia ada serta mempertimbangkan semula peruntukan terhadap kumpulan itu kerana tidak mendapat perhatian dalam pembentangan Bajet 2019.

"Kita amat berharap ada berita 'gembira' yang akan dibawa kerajaan dalam pembentangan Bajet 2020 nanti.

"Kerajaan diharap tidak meminggirkan nasib dan kebajikan nelayan yang perlu mendapat pembelaan sewajarnya memandangkan tiada langsung perkara yang disentuh berkaitan kepentingan nelayan dalam Bajet 2019 yang dibentangkan tahun lalu," katanya.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) berkata, kerajaan juga diharapkan supaya mempertimbangkan untuk menaikkan kadar elaun sara hidup bulanan nelayan daripada RM200 ketika ini kepada RM300 bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung.

Mat Yassim berkata, sebelum ini elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 telah dikurangkan kepada RM200 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kita harap untuk bajet tahun depan kerajaan lebih cakna dan prihatin terhadap nasib golongan sasar seperti nelayan, petani dan penternak.

"Kita amat berharap supaya elaun kos sara hidup nelayan daripada RM200 sekarang dapat dinaikkan kepada kadar asal RM300 seorang.

Artikel Berkaitan:

"Ia sekurang-kurangnya mampu membantu untuk meringankan beban yang mereka tanggung ekoran kenaikan kos sara hidup yang tinggi masa kini," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan juga diminta mengekalkan kadar subsidi diesel dan petrol bagi membantu golongan itu.

"Kita harap kerajaan dapat mengekalkan subsidi petrol dan diesel yang telah disalurkan sebelum ini kerana ia amat membantu menjana pendapatan golongan nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.

"Ia juga bagi menjamin kesinambungan golongan ini pada masa akan datang," katanya.