Desa Cemerlang paling banyak warung haram

Antara tapak warung haram yang ditutup MBJB baru-baru ini.
Antara tapak warung haram yang ditutup MBJB baru-baru ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Desa Cemerlang merekodkan warung kekal yang dibina secara haram paling banyak di kawasan perindustrian dalam pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi tahun ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman berkata, daripada 97 warung kekal yang dikesan dibina tanpa kebenaran, 51 buah warung dari kawasan tersebut.

"Daripada jumlah ini, zon kawasan perindustrian Desa Cemerlang catatkan jumlah warung kekal tanpa lesen paling tinggi iaitu sebanyak 51 buah dan kesemuanya telah dikeluarkan notis.

"Tujuh warung sudah dirobohkan Julai lalu melibatkan warung yang tidak beroperasi atau warung baharu yang didirikan tetapi masih belum menjalankan perniagaan," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Mesyuarat Penuh Bilangan 9 Tahun 2019 semalam.

Menurutnya, baki warung yang belum dirobohkan perlu menjalani beberapa proses termasuk pembersihan.

"Baki warung kekal ini masih tidak dirobohkan kerana perlu dijalankan 'taskforce' bersama jabatan dalaman MBJB, operasi bersepadu bersama SWCorp dan SWM bagi tujuan pembersihan.

"Kita juga sedang menunggu tarikh sesuai untuk menjalankan operasi ini," katanya.

Amran berkata, tindakan meroboh warung kekal haram itu dijalankan di bawah Seksyen 46(i) (a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kebenaran atau lesen perniagaan penting kerana berkait rapat dengan isu keselamatan dan kesihatan orang awam.

"Bagi gerai atau penjaja yang mengendalikan makanan, pengusaha perlu hadiri kursus pengendalian makanan, dapatkan suntikan dan pasang perangkap minyak di gerai masing-masing.

"Jika tiada lesen, pengunjung terdedah kepada risiko penyakit bawaan daripada makanan yang tidak bersih ataupun pengusaha yang tidak pentingkan kebersihan selain gerai itu boleh sumbang kepada pencemaran alam sekitar hasil aktiviti perniagaan dijalankan," katanya.

Menurutnya, gerai-gerai haram ini juga mengundang risiko keselamatan orang awam seperti kemalangan jalan raya jika dibina tanpa mengikut piawaian ditetapkan.