'Tiada siapa berani alih kereta'

Salah satu keadaan kereta penduduk terjejas yang belum dialihkan sehingga hari ini.
Salah satu keadaan kereta penduduk terjejas yang belum dialihkan sehingga hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada seorang penduduk berani turun mengalihkan kenderaan yang dihempap bumbung tercabut di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di sini semalam.

Berkongsi cerita, seorang penduduk, S Siva, 41, berkata, dia melihat kejadian bumbung terbang menghempap kereta penduduk kira-kira jam 4. 30 petang.

Menurutnya, penduduk hanya mampu melihat kejadian dari rumah disebabkan hujan lebat dan angin kuat.

"Tak ada yang berani alihkan kereta, selepas hujan reda kira-kira jam 5.30 petang baru ada penduduk yang turun melihat keadaan kereta.

"Kereta saya tak terlibat disebabkan saya letakkan jauh dari pangsapuri. Parkir di bawah blok ini berisiko sebab ada penduduk buang barang dari atas," katanya.

Pengusaha kedai runcit, A Malar, 41, berkata, suaminya yang berada di kedai bawah blok sewaktu kejadian terpaksa menghentikan operasi untuk tujuan keselamatan.

"Suami terpaksa tutup kedai dan menunggu di bawah sehingga hujan reda. Serpihan bumbung tercabut jatuh sehingga kaki jalan.

"Kira-kira 10 kereta rosak, ada yang rosak bahagian bumbung dan cermin pecah telah dialihkan pemilik.

Artikel Berkaitan:

"Sementara kedai saya tidak rosak apa-apa hanya bumbung yang berlubang sedikit. Barang niaga sempat dialihkan sebelum kejadian itu, " katanya.

Seorang lagi penduduk, Khatijah Ninggal, 71, berkata, dia melihat beberapa kali kren yang digunakan bagi projek parkir bertingkat bersebelahan PPR Desa Rejang berpusing.

"Ketika itu saya dalam rumah, risau juga keadaan tak diingini berlaku disebabkan hujan terlalu lebat dengan angin.

Serpihan bumbung terbang menghempap kereta penduduk di bawah blok PPR Desa Rejang.
Serpihan bumbung terbang menghempap kereta penduduk di bawah blok PPR Desa Rejang.

"Beberapa minit selepas itu terus dengar bunyi kuat bumbung tercabut. Alhamdulillah tiada yang cedera dalam kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Rejang, Mohd Noor Md Tahir berkata, beliau meminta pemilik kereta terlibat untuk membuat laporan polis terlebih dahulu dan tuntutan insurans.

"Saya juga minta mereka mengemukakan laporan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi pertimbangan permohonan saguhati.

"Kejadian semalam memang tidak disangka jadi saya harap penduduk berwaspada sebab sekarang musim hujan. Dalam masa sama saya minta aspek keselamatan projek parkir dipertingkat bagi mengelak insiden tidak diingini," katanya.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam, lebih 10 kereta dihempap bumbung tercabut menyebabkan lima daripadanya mengalami kerosakan teruk termasuk bumbung kemek dan cermin pecah.

Datuk Bandar DBKL, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan ketika tinjauan di PPR Desa Rejang memaklumkan memperuntukkan RM350,000 untuk kerja pembaikan bumbung.

Sementara bagi kerosakan lain pihaknya sedang menunggu laporan untuk penelitian namun yang menjadi keutamaan melibatkan unit dan bangunan terjejas.

Keadaan bumbung bangunan tercabut di PPR Desa Rejang semalam.
Keadaan bumbung bangunan tercabut di PPR Desa Rejang semalam.