Pas, UMNO Terengganu adakan pertemuan

Barisan kepimpinan tertinggi Pas dan UMNO Terengganu mengadakan pertemuan di Hotel Permai malam tadi. -Foto Facebook Dewan Pemuda Pas Terengganu
A
A

KUALA TERENGGANU – Pas dan UMNO Terengganu mengadakan pertemuan di Hotel Permai malam tadi bagi membincangkan kerjasama serta kesepakatan kedua-dua parti dalam merealisasikan Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai bulan lalu.

Dalam pertemuan bersejarah itu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang hadir bersama barisan kepimpinan tertinggi parti manakala UMNO diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said serta ketua-ketua UMNO Bahagian negeri.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perbincangan turut menyentuh mengenai pembentukan Jawatankuasa Penyelaras Pas dan UMNO peringkat negeri Terengganu yang diwakili seramai tujuh orang daripada setiap parti.

“Pertemuan ini turut menyentuh berkenaan Program Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) Peringkat Negeri Terengganu yang bakal diadakan pada 25 Oktober di Stadium Tertutup Negeri.

“Semoga hasil pertemuan dan perbincangan ini mampu memberi impak positif kepada rakyat Malaysia amnya dan masyarakat Terengganu khususnya.

“Didoakan juga semoga ALLAH mempermudahkan usaha murni ini demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan media.