X

Kindly register in order to view this article
!

Pokok getah seluas 689 hektar ditebang

Peserta Felcra Bukit Tandak berkumpul membantah penebangan pokok getah.
A
A

RANTAU PANJANG - Seramai 348 peserta di rancangan pemulihan tanah Felcra Bukit Tandak dekat sini mendakwa hilang punca pendapatan apabila tanaman getah seluas 689 hektar yang menjadi sumber rezeki utama ditebang oleh kerajaan negeri.

Lebih memeritkan lagi, peserta mendakwa pokok getah yang diusahakan di atas tanah seluas 689 hektar sejak 40 tahun itu ditebang ketika pertikaian berkaitan isu tersebut masih lagi dalam proses perbicaraan mahkamah.

Tanpa berselindung, wakil peserta, Mat Yunus Jusoh, 60, meluahkan rasa dukacita dengan tindakan itu dan menyifatkan ia sebagai tidak berhati perut.

Mat Yunus mendakwa, kerajaan negeri sepatutnya menghormati ketetapan dibuat oleh mahkamah yang memutuskan perbicaraan berhubung kes itu akan disambung semula pada 17 November depan.

"Tapi mereka (kerajaan negeri) tidak hormat keputusan itu sebaliknya terus menjalankan kerja-kerja tebang pokok getah milik kami semua.

"Tindakan ini umpama kami sewa rumah bila halau kami, pemilik (rumah) tidak benarkan segala barangan milik kami dibawa keluar. Ini tidak adil bagi kami, begitu juga dalam isu pokok getah itu," katanya ketika ditemui pemberita di Felcra Bukit Tandak di sini semalam.

Terdahulu, peserta berhimpun secara aman membantah tindakan kerajaan negeri itu.

Peserta Felcra Bukit Tanah menunjukkan pokok getang yang ditebang.
Peserta Felcra Bukit Tanah menunjukkan pokok getang yang ditebang.

Menurutnya, pokok getah yang hidup di atas tanah itu adalah hasil titik peluh peserta di kawasan tersebut dan hasil daripada pokok getah itu juga digunakan untuk membayar hutang kepada pihak Felcra.

"Kami cuba berunding tetapi mereka (kerajaan negeri) enggan memberikan kerjasama," katanya.

Mat Yunus mendakwa, sekiranya pokok getah itu ditebang kesemua 348 peserta akan mengalami kerugian mencecah RM10 juta.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Datuk Mohammad Awang ketika dihubungi Sinar Harian berkata, kerajaan tidak akan membayar ganti rugi kepada peserta.

Katanya, pokok getah itu telah ditanam oleh pihak Felcra.

"Felcra telah serahkan kepada kerajaan negeri untuk uruskan perkara ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus