Dera anak asuhan hingga maut, suami isteri direman 7 hari

Shamsul Amar
Shamsul Amar
A
A
A

KLANG - Pasangan suami isteri direman tujuh hari selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang diasuhnya sehingga maut di sebuah rumah di Jalan Yadi, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, reman pasangan terbabit bermula hari ini sehingga Selasa depan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian itu, pihaknya dimaklumkan kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki yang juga suspek kira-kira jam 1.21 petang.

Shamsul Amar berkata, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di rumah terbabit oleh pihak ambulans sebelum mayatnya dihantar ke ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

"Laporan bedah siasat keesokannya mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dalaman termasuk hati dan usus disebabkan hentakan objek tumpul selain 41 kesan kecederaan baru dan lama," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 4 tahun maut didera pengasuh

Terdahulu, polis bertindak menahan suspek dan isterinya kira-kira jam 11 pagi semalam.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, pemeriksaan ke atas tubuh dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 4, 5 dan 8 tahun yang dibawa oleh suspek wanita terbabit mendapati terdapat kecederaan fizikal pada tubuh badannya dipercayai akibat didera.

Siasatan juga mendapati dua kanak-kanak lelaki itu adalah anak kandung kepada suspek wanita berusia 30 tahun hasil perkahwinan bersama dua bekas suami sebelum ini, manakala kanak-kanak perempuan itu adalah kembar si mati.