X

Kindly register in order to view this article
!

Budak 4 tahun maut didera pengasuh

Gambar kecil: ACP Shamsul Amar Ramli
A
A

KLANG - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera pengasuh yang juga suami isteri di sebuah rumah di Jalan Yadi, Klang Ahad lalu.

Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.21 petang hari kejadian.

Katanya, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang tiba di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Bedah siasat terhadap mayat petang kelmarin mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada abdomen yang berpunca daripada hentakan objek tumpul.

“Ada beberapa kesan kecederaan baharu dan lama pada tubuh mangsa. Kedua-dua suspek iaitu lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 30 tahun itu ditahan jam 11 pagi semalam di Klang,” katanya.

Shamsul Amar berkata, ketika siasatan dijalankan, polis turut memeriksa dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia lima dan lapan tahun yang dibawa suspek wanita iaitu ibu kepada kedua-dua kanak-kanak itu.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas dua kanak-kanak terbabit mendapati terdapat kecederaan fizikal pada tubuh badan dipercayai akibat didera suami isteri berkenaan.

“Kedua-dua kanak-kanak itu adalah anak kandung suspek wanita berusia 30 tahun hasil perkahwinan bersama dua bekas suami sebelum ini.

“Sementara kanak-kanak perempuan yang maut itu diasuh suspek bersama suaminya,” katanya.

Shamsul Amar berkata, semua mangsa kini berada di HTAR untuk pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan reman akan dipohon di Mahkamah Klang hari ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!