Kertas putih pertahanan dibentang selepas Belanjawan 2020

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas Putih Pertahanan Negara dijangka akan dibentang di Parlimen selepas Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Kertas Putih Pertahanan itu pertama kali dibuat di Malaysia dengan mengambil contoh beberapa negara lain antaranya Brunei, Australia, Jerman dan New Zealand.

“Sebelum ke Parlimen yang dijangka pada awal Disember, kertas putih itu akan dibentang kepada Kabinet terlebih dahulu,” katanya pada Majlis Sekalung Budi Media Pertahanan di Hotel Istana hari ini.

Terdahulu, Mohamad mengadakan pertemuan dengan pihak media diikuti jamuan makan tengah hari.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Dzulkarnain Ahmad dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin.

Beliau juga berkata, deraf kertas putih itu akan mengambil pandangan semua pihak, antaranya ahli akademik.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sebelum ini dipetik berkata, kertas putih itu antaranya merangkumi penstrukturan gaji yang kompetitif, elaun dan insentif khas, faedah-faedah perubatan/penjagaan kesihatan serta perkara berkaitan perumahan.

Beliau berkata ia akan memberi ganjaran bukan sahaja terhadap profesionalisme dan pengalaman warga tentera, malah pengorbanan serta kesusahan yang telah mereka hadapi.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, anggota tentera juga mempunyai peluang untuk mengembangkan kepakaran profesional yang mendalam sepanjang tempoh perkhidmatan mereka melalui gabungan pendidikan, latihan serta program pembangunan diri," katanya dalam wawancara khas sempena Hari ATM yang ke-86.