X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu maut traktor jatuh kolam

Mayat mangsa berjaya ditemui sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Foto: Facebook Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang
A
A

MUADZAM SHAH - [DIKEMASKINI] Seorang pemandu traktor maut selepas jentera dipandunya terjunam ke dalam kolam di Kampung Langkap Luar di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang belum dikenalpasti identitinya dan dipercayai warga asing dilaporkan lemas selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 1.15 tengahari tadi oleh pasukan bomba yang menggerakkan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.38 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari sebuah kebun menuju jalan keluar ke Jalan Kuantan- Segamat.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu traktor itu terbabas sebelum terjunam ke dalam kolam di tepi laluannya.

"Difahamkan pihak bomba menggerakkan operasi mencari dan menyelamat sebelum mayat mangsa ditemui tersepit di tempat duduk pemandu tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata, identiti mangsa masih belum dikenalpasti namun dipercayai warga asing.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987", katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, susulan maklumat diterima, empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah ke lokasi bagi menggerakkan operasi menyelamat.

Menurutnya, anggota bomba terpaksa menggunakan bantuan trak tunda bagi menaikkan traktor terbabit.

"Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus