X

Kindly register in order to view this article
!

Bajet 2020: Pulau Pinang minta peruntukan untuk projek PPR

A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang berharap agar kerajaan Pusat memberi peruntukan untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam Bajet 2020 yang akan dibentangkan nanti.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo berkata, pemberian peruntukan itu adalah tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat yang merupakan pembayar cukai di negara ini.

Menurutnya, rakyat sebagai pembayar cukai harus mendapat kembali apa yang mereka bayar dan semestinya rumah adalah perkara paling penting dalam kehidupan semua rakyat.

"Kerajaan perlu membina lebih banyak rumah PPR untuk mereka yang tidak mampu untuk membeli rumah sendiri.

"Zaman BN (Barisan Nasional) jadi kerajaan dahulu, ada PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) dan PPR tetapi Pulau Pinang tidak mendapat satu pun projek tersebut. Namun hari ini kita sudah menjadi kerajaan tetapi menteri kata tiada lagi projek PPR akan dibina.

Jagdeep Singh
Jagdeep Singh

"Jadi apa akan jadi dengan mereka yang tidak mampu beli rumah walaupun rumah kos rendah? Inilah keperluan asas yang kerajaan hari ini perlu sediakan bagi membantu rakyat," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini tadi.

Jagdeep berkata, kerajaan negeri telah membina rumah kos rendah dan sederhana rendah untuk rakyat Pulau Pinang sejak beberapa tahun yang lalu.

"Bukan sahaja kerajaan negeri, syarikat swasta juga berusaha membina rumah untuk golongan ini. Kami sudah penat untuk mengharungi semua ini dan inilah masanya kerajaan mengambil tanggungjawab dalam menyediakan rumah untuk rakyat.

"Salah satu harapan saya dalam Bajet 2020 adalah kerajaan mengetepikan sebahagian daripada cukai untuk perumahan terutama bagi kategori PPR. Selain itu, saya berharap agar kerajaan mengambil berat tentang kadar penolakan pinjaman bank yang tinggi sehingga hari ini," katanya.

Beliau berkata, banyak cara yang boleh diambil oleh pihak bank bagi membolehkan pemohon membuat pinjaman untuk membeli rumah.

"Mereka yang tidak mempunyai pendapatan tinggi dikategorikan sebagai permohonan berisiko dan tidak layak untuk membuat pinjaman. Sekiranya perkara ini tidak diatasi, sampai bila-bila pun golongan ini tidak boleh membeli rumah mereka sendiri.

"Sebab itu, saya meminta Bank Negara agar melonggarkan syarat terhadap golongan ini. Bank mempunyai banyak pilihan antaranya menyita rumah pembeli yang gagal membuat bayaran balik dan menjualnya dengan harga yang lebih tinggi," katanya.

Katanya, beliau juga meminta agar bank memberi pinjaman lebih 100 peratus kepada pembeli rumah untuk kategori rumah mampu milik dan kos rendah.

"Pembeli kategori ini perlu diberi keutamaan bagi membolehkan mereka membeli rumah sendiri. Sekiranya bank bimbang mereka tidak dapat membuat bayaran balik, berikan tempoh pembayaran yang panjang.

"Ini membolehkan peminjam membayar semula pinjaman mereka walaupun dalam tempoh yang lama," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus