Tidak hormat lagu Negaraku: Polis rakam keterangan lapan individu

Rakaman tular menunjukkan sekumpulan individu tidak berdiri bagi menghormati lagu Negaraku dalam satu majlis.
Rakaman tular menunjukkan sekumpulan individu tidak berdiri bagi menghormati lagu Negaraku dalam satu majlis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lapan individu termasuk seorang wanita tampil memberi keterangan kepada polis berhubung kes tidak menghormati lagu Negaraku kelmarin.

Kesemua individu terbabit dipercayai anggota kumpulan Sarawak For Sarawakian (S4S) memberi keterangan di Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar mengesahkan pihaknya telah memanggil lapan individu untuk memberi keterangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih sebulan, jika sabit kesalahan," katanya.

Terdahulu laporan polis dibuat berhubung tindakan mereka yang duduk dan tidak berdiri ketika lagu kebangsaan itu berkumandang dalam satu majlis anjuran Parti Bansa Dayak Bersatu (PBDS) Baru pada Jumaat.

Memetik laporan Astro Awani, jurucakap kumpulan tersebut, Shaow Tung Leong memaklumkan mereka bertindak demikian sebagai membantah kerajaan Persekutuan berhubung keengganan membayar isu royalti minyak 20 peratus kepada Sarawak.

Jelasnya, tindakan itu hanya dilakukan ketika lagu kebangsaan dinyanyikan, namun mereka kembali berdiri apabila lagu kebesaran negeri, Ibu Pertiwiku dimainkan.

Video perbuatan mereka tular dan mendapat kecaman netizen yang menyifatkan tindakan kumpulan itu sebagai biadab.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Siasat mereka yang tidak hormat lagu Negaraku