X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh ditahan dipercayai mencuri, pecah rumah

Antara barang yang dirampas susulan tertangkapnya tujuh suspek baru-baru ini disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah.
A
A

SEPANG - Polis menumpaskan satu kumpulan dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah pecah rumah, curi dalam bangunan dan curi kenderaan selepas menangkap tujuh individu dalam operasi khas baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada 26 dan 29 September lalu.

"Seramai tujuh individu termasuk dua wanita berusia 22 hingga 32 tahun ditahan dan pemeriksaan mendapati salah seorang suspek wanita ialah warga Thai.

"Dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, polis merampas empat buah kereta termasuk Proton Satria, Preve dan Wira dipercayai kenderaan curi manakala sebuah lagi jenis Honda Civic disyaki diguna semasa melakukan jenayah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, turut dirampas beberapa barangan lain seperti telefon bimbit, jam tangan, anak kunci serta televisyen.

Antara barang dirampas Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang
Antara barang dirampas Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang

"Siasatan awal mengesyaki dua wanita terbabit adalah kekasih kepada suspek lelaki terbabit. Siasatan juga masih dijalankan bagi mengesan sekiranya terdapat lagi suspek yang masih bebas.

"Kita percaya dengan tangkapan yang dibuat setakat ini berjaya selesaikan lima kes iaitu empat kes di Sepang dan satu kes di daerah Brickfields," katanya.

Md Noor Aehwan berkata, semakan juga mendapati lima suspek terbabit memiliki rekod jenayah lampau.

"Semua suspek direman sehingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457, Seksyen 380, dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!