Sempadan Syria, Iraq dibuka semula

Sempadan antara al-Qa'im di Iraq dan Bukamal di Syria. - Foto Agensi
Sempadan antara al-Qa'im di Iraq dan Bukamal di Syria. - Foto Agensi
A
A
A

DAMSYIK - Pihak berkuasa Syria dan Iraq membuka semula sempadan utama antara kedua-dua negara itu selepas kumpulan militan Daesh menduduki kawasan tersebut sejak 2014.

Lintasan sempadan yang terletak di laluan penting menghubungkan Damsyik dan Baghdad dibuka kepada orang ramai dan barangan bermula hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri Iraq, Adil Abdul-Mahdi mengesahkan pembukaan sempadan al-Qa'im dengan Syria selepas kedua-dua negara berjaya memulihkan keselamatan di rantau berkenaan.

Difahamkan, lintasan itu menjadi penghubung antara bandar al-Qa'im di wilayah Anbar, Iraq dengan Bukamal di wilayah Dayr al-Zawr, Syria.

Sebelum ini, al-Qa'im dan Bukamal yang terletak di laluan bekalan strategik hanya dibuka kepada kerajaan atau tentera.

Pembukaan itu dibuat susulan kejayaan Syria dan Iraq membersihkan kebanyakan negara mereka daripada Daesh.

Lima tahun lalu, Daesh melancarkan kempen kemusnahan dan kematian di Iraq dan Syria, namun pada Disember 2017, Baghdad mengisytiharkan kempen anti-Daesh berakhir.

Pada November tahun sama, tentera Syria membersihkan Bukamal dan kawasan sekitarnya daripada sisa Daesh. - Agensi

Artikel Berkaitan: