Tidak ramai manfaatkan klinik LPPKN

Abdul Shukur bersama sebahagian penduduk yang hadir sempena jelajah di Kampung Kuala Tahan kelmarin.
Abdul Shukur bersama sebahagian penduduk yang hadir sempena jelajah di Kampung Kuala Tahan kelmarin.
A
A
A

JERANTUT - Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati golongan wanita terutama di kawasan luar bandar kurang memanfaatkan kemudahan yang disediakan untuk mengesan sebarang penyakit.

Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah berkata, berikutan itu golongan terbabit lewat mengesan penyakit dihidap malah semakin sukar dirawat apabila penyakit berada pada tahap ketiga atau ke atas.

"Kebanyakan penyakit membabitkan wanita seperti penyakit barah pangkal rahim dan payudara boleh dirawat jika membuat pemeriksaan awal namun ramai penduduk yang masih belum memanfaatkan kemudahan itu walaupun kami menyediakan 49 klinik statik di seluruh negara termasuk lima di Pahang selain 10 bas bergerak.

"Di Pahang, orang ramai boleh mendapatkan khidmat klinik terbabit di Kuantan, Lipis, Raub, Bentong dan Mentakab selain turut menyediakan perkhidmatan klinik bergerak dan kemudahan pengangkutan bagi yang jauh," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Kitakan Keluarga Peringkat Negeri Pahang di Kampung Kuala Tahan di sini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin; Pengarah LPPKN Pahang, Nor Hafizah Md Nor dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman.

Abdul Shukur berkata, program jelajah tersebut bagi memberi peluang kepada penduduk mendapatkan perkhidmatan seperti saringan kesihatan, ujian pap smear, mamogram dan saringan kanser serviks.

"LPPKN akan menjelajah ke enam lokasi seluruh negara bagi melaksanakan program tersebut untuk tahun ini iaitu RPS Kuala Berus, Gua Musang, Kelantan; Sri Penara, Kuala Lumpur; Changlun, Kedah; Mersing, Johor; Tenom, Sabah dan Kuala Tahan, Pahang," katanya.

Artikel Berkaitan: