Nak larang perokok ni susah....

Rata-rata perokok tegar yang sukar mengikut peraturan yang ditetapkan.
Rata-rata perokok tegar yang sukar mengikut peraturan yang ditetapkan.
A
A
A

TUMPAT - Penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan bermula malam tadi tetapi masih ramai perokok tegar merokok di meja makan.

Tinjauan Sinar Harian di kedai kopi daerah ini, pelanggan merokok seperti biasa walaupun ada notis larangan merokok dipamerkan di premis berkenaan.

Peniaga, Mohd Rosli Zakaria, 46, berkata, masih ramai yang merokok secara terbuka walaupun mengetahui larangan tersebut.

Katanya, sukar untuk melarang mereka merokok kerana rata-rata adalah pelanggan tetap.

"Saya dah pamer tanda larangan merokok, susah nak larang mereka sebabnya pelanggan sekampung.

"Macam inilah situasi di kampung, kedai kecil macam kami payah untuk akur larangan ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, jika ada pemantauan tegas daripada pihak penguatkuasa, dia akan meminta pelanggannya merokok di luar premis di wakaf hadapan kedainya.

Terdahulu, semua premis makanan di negara ini diwartakan sebagai tempat larangan merokok berkuatkuasa 12 tengah malam tadi, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan pewartaan itu dilaksanakan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004).

Larangan itu bertujuan melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok.

Premis itu membabitkan semua kaedah perniagaan tidak kira bertutup, berhawa dingin, atau berkonsep terbuka (open air).

Sebelum ini Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.

Peraturan baharu itu menetapkan pengusaha dan pemilik kedai makan serta restoran perlu menaikkan tanda larangan merokok selain tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bilik khas merokok dan bekas membuang puntung rokok.

Peraturan larangan merokok itu diwarta mengikut Peraturan 11, PPKHT 2004 yang mana mereka melanggarnya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.