Dua sekolah diberi 'memo', langgar peraturan pendidikan

Kenyataan KPM berhubung isu berkenaan.
Kenyataan KPM berhubung isu berkenaan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) memberi peringatan tegas kepada pentadbir dua sekolah kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pendidikan.

Peringatan itu diberikan kepada pentadbir di sebuah sekolah di Pulau Pinang kerana melarang bacaan doa pada Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar Tahun 2019 selain sebuah sekolah di Perak berikutan penceramah kursus pendidikan seni visual menyampaikan kursus tersebut dalam bahasa Cina sepenuhnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, kementerian itu juga sedang pertimbangkan tindakan tatatertib jika perlu.

“Peringatan sama turut diberikan kepada semua sekolah supaya mematuhi semua Akta Pendidikan dan surat-surat siaran yang telah diedarkan kepada mereka.

“Ketidakakuran kepada peraturan-peraturan ini boleh membawa kepada tindakan tatatertib atau tindakan lain yang sesuai kepada pihak pentadbir sekolah yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, KPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang disediakan untuk rujukan semua.

Sebelum ini, insiden melarang bacaan doa dan penggunaan bahasa Cina sepenuhnya dalam kursus pendidikan seni visual tular di laman media sosial.

Hari ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik turut memberi teguran kepada sebuah sekolah di Ayer Tawar, Manjung kerana tidak menggunakan bahasa Malaysia pada kain rentang sekolah.

Artikel Berkaitan:

Teguran Maszlee dalam laporan Sinar Harian hari ini.
Teguran Maszlee dalam laporan Sinar Harian hari ini.

Teguran itu dibuat menerusi ruangan komen Instagram milik Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming pagi tadi.

Beliau menegaskan, poster berkenaan perlulah ditulis menggunakan bahasa kebangsaan memandangkan jata negara turut digunakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Maszlee tegur kain rentang sekolah tidak guna bahasa kebangsaan