Nafuzi terkilan keputusan pengadil

Aksi penyerang TFC, Kipre Tchetche (kiri) cuba disekat pemain import JDT pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Seri Hj Hassan Yunos, Larkin malam tadi. - Foto Johor Southern Tigers
Aksi penyerang TFC, Kipre Tchetche (kiri) cuba disekat pemain import JDT pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Seri Hj Hassan Yunos, Larkin malam tadi. - Foto Johor Southern Tigers
A
A
A

KETUA jurulatih sementara Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui sedikit terkilan dengan keputusan pengadil perlawanan apabila menyaksikan anak buahnya tumpas 1-4 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Seri Hj Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Menurutnya, beberapa keputusan yang dibuat pengadil pada perlawanan itu dilihat membunuh motivasi dan semangat pemain untuk terus bermain dengan lebih cemerlang sebagaimana yang dirancang.

“Saya tahu untuk perlawanan ini, para pemain lebih fokus dan bermati-matian untuk meraih kemenangan tetapi mungkin disebabkan beberapa keputusan yang kita tahu membunuh motivasi mereka untuk bermain.

"Saya menjangkakan permainan yang menarik daripada kedua-dua pasukan kerana kita tahu kualiti JDT dan kualiti pemain saya. Sememangnya kita mahu menang tetapi sekurang-kurangnya pemain dapat mempamerkan aksi yang menghiburkan untuk memuaskan hati kedua-dua penyokong.

"Bagi saya permainan ini hanya bertahan 20 minit sahaja, selepas kami ketinggalan 2-0, saya tengok tiada lagi keseronokkan buat pemain untuk bermain, malah suasana penyokong juga jadi tidak meriah," katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Nafuzi tetap memuji dan berbangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan anak buahnya yang bermain dengan penuh komitmen sepanjang perlawanan tersebut dan turut berjaya menjaringkan gol.

"Untuk kekalahan ini saya dan pasukan meminta maaf kepada penyokong skuad Penyu kerana gagal mengulangi pencapaian musim lalu untuk melangkah ke pentas final," katanya.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan perjuangan TFC dalam saingan Piala Malaysia terhenti di peringkat suku akhir setelah tumpas dengan agregat 1-5.

Artikel Berkaitan: