Tiada tempoh lanjutan untuk PKPS, kata Guan Eng

Guan Eng (tengah) menerima cenderamata selepas merasmikan program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Drive With Us anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang hari ini.
Guan Eng (tengah) menerima cenderamata selepas merasmikan program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Drive With Us anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang hari ini.
A
A
A

BUTTERWORTH - Tiada tempoh lanjutan bagi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) untuk pembayar cukai yang akan berakhir esok.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan sudah memberi tempoh mencukupi untuk pembayar cukai mengisytihar pendapatan masing-masing secara sukarela kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Esok adalah hari terakhir untuk mereka membuat pelaporan secara sukarela cukai mereka kerana ada pihak yang lupa laporkan cukai sebelum ini.

"Sungguhpun tak diluluskan kerana proses mungkin mengambil masa dua minggu ke satu bulan, asalkan mereka bentangkan pada hari esok pun akan dikira sah laku kerana dilaporkan pada 30 September iaitu pada hari terakhir," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Drive With Us anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang di sini pagi tadi.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, mereka yang gagal membuat pengisytiharan akan dikenakan penalti yang tinggi antara 45 peratus sehingga 300 peratus.

PKPS yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 bertujuan memberi peluang kedua kepada pembayar cukai yang mempunyai masalah pematuhan cukai untuk membuat pembetulan pelaporan cukai mereka dengan menawarkan kadar penalti rendah iaitu hanya 15 peratus bagi fasa kedua program itu.

Sementara itu, Guan Eng enggan mengulas mengenai cadangan penggunaan bil elektrik bagi menentukan golongan yang layak menerima subsidi petrol RON95.

Beliau berkata, perkara itu di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan hanya akan mengulas selepas perkara itu dimuktamadkan oleh kementerian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun saya boleh jawab tapi tak eloklah, kita tunggu KPDNHEP keluarkan kenyataan rasmi terlebih dahulu berhubung cadangan berkenaan," katanya.

Semalam, Timbalan Menteri KPDNHEP, Chong Chieng Jen dalam temubual bersama Sin Chew Daily memaklumkan kerajaan bercadang menggunakan bil elektrik bagi menentukan golongan yang layak menerima subsidi petrol RON95.

Menurutnya, hanya golongan dalam kategori B40 dengan bil elektrik bulanan antara RM100 dan RM200, layak mendapat subsidi tersebut.

Pelaksanaan program itu merupakan antara janji manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan kemudian dibentangkan pada Belanjawan 2019, November tahun lepas.

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter dan 40 liter bagi motosikal.