Dua terbunuh kereta bertembung

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas yang mengorbankan dua nyawa berhampiran Kampung Jong malam tadi.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas yang mengorbankan dua nyawa berhampiran Kampung Jong malam tadi.
A
A
A

GERIK - Dua lelaki terbunuh dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 104.1 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu berhampiran Kampung Jong malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.10 malam itu, Mohamad Najib Ahmad Radzi, 36, yang memandu kereta jenis Naza Suria disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi pemandu kereta Honda Civic, Tou Ngean Kooi, 49, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang telah pun berkahwin memandu sendirian.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Ngean Kooi yang dalam perjalanan dari arah Gerik ke Pengkalan Hulu masuk ke laluan bertentangan.

"Pemandu kereta jenis Naza Suria yang berada di laluan itu tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran pada bahagian hadapan sebelah kanan kedua-dua kereta.

"Pelanggaran itu menyebabkan seorang daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia di hospital kira-kira jam 12.50 malam selepas parah di kepala," katanya.

Ismail berkata, ketika kejadian keadaan jalan basah akibat hujan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua kereta mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.