Jakim terima dua anugerah jenama terbaik halal

Mohamad Nordin (dua dari kanan) menunjukkan anugerah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (tengah) ketika lawatan kedua-dua pemimpin itu ke reruai pameran Jakim sempena Karnival Rahmah@KR19 di Putrajaya hari ini.
Mohamad Nordin (dua dari kanan) menunjukkan anugerah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (tengah) ketika lawatan kedua-dua pemimpin itu ke reruai pameran Jakim sempena Karnival Rahmah@KR19 di Putrajaya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima dua anugerah berprestij The BrandLaureate World Halal Bestbrands Awards 2019 susulan pencapaian berkaitan sektor pensijilan halal.

Unit Komunikasi Korporat Jakim dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pengiktirafan itu diberikan menerusi dua kategori iaitu Brandleadership Awards 2019 yang dianugerahkan kepada Datuk Mohamad Nordin Ibrahim atas kepimpinan beliau sebagai Ketua Pengarah Jakim.

Sementara itu, satu lagi anugerah diterima adalah bagi kategori Strategic Business Partner Brand Award yang mengiktiraf Halal Malaysia yang diterajui di peringkat global.

"Anugerah berprestij ini bagi menghargai peranan dan sumbangan Mohamad Nordin dalam menerajui perkembangan ekosistem halal di Malaysia serta di persada antarabangsa.

"Sumbangan dan peranan beliau secara aktif dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan Pensijilan Halal Malaysia tidak dapat dinafikan sebagai rakan strategik industri bagi memajukan perniagaan dalam sektor halal," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, selaku Ketua Pengarah Jakim, anugerah berkenaan amat bermakna atas sumbangan Mohamad Nordin yang efisien terhadap ummah di Malaysia dan di peringkat global berteraskan prinsip Islam yang syumul selaras dengan konsep rahmah bertunjangkan kepada konsep Rahmatan Lila'lamin.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

"Ini juga membuktikan Malaysia sebagai model pengurusan pensijilan halal terbaik dunia," katanya.

Anugerah tersebut disampaikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi tetamu jemputan khas pada majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

The BrandLaureate World Halal Bestbrands Awards adalah penjenamaan di peringkat antarabangsa dari organisasi yang tidak berasaskan keuntungan dengan memberi pengiktirafan bagi sesuatu pencapaian, penjenamaan dan reputasi individu, organisasi atau syarikat.