KDN nafi dakwaan beri 200,000 kewarganegaraan baharu

kdddddnnnnnn
kdddddnnnnnn
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan pemilik akaun media sosial Twitter ‘TengkuRajaAlamShah’ berhubung 200,000 penerima sijil kewarganegaraan baharu berikrar sedia membalas budi kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah tidak benar.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tempoh Mei 2018 hingga 15 September lalu, sebanyak 19,788 permohonan taraf kewarganegaraan diterima JPN daripada pelbagai bangsa.

Namun, menurut KDN, daripada jumlah tersebut hanya 4,422 permohonan yang telah diluluskan kewarganegaraan mereka.

"Justeru, dakwaan seramai 200,000 orang telah diberikan kewarganegaraan adalah tidak benar," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KDN meminta pemilik akaun Twitter tersebut membuktikan dakwaan berkenaan sahih dan bukan tohmahan tidak berasas.

"KDN ingin menegaskan hanya mereka yang memenuhi syarat ditetapkan dan mengemukakan dokumen lengkap layak memohon taraf kewarganegaraan.

"Pemberian taraf kewarganegaraan adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan merupakan penganugerahan tertinggi kerajaan Malaysia serta tidak diberikan sewenang-wenangnya," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai juga digesa menghentikan penyebaran maklumat yang tidak benar bagi mengelak kekeliruan dan kebimbangan awam.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga sama sekali tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita yang tidak sahih dan palsu yang ditularkan. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas penyebar berita dan maklumat palsu," kata kenyataan tersebut.