Cadang tiada lagi ketua pembangkang negeri ditadbir UMNO, Pas

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

PASIR MAS - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar tiada lagi jawatan ketua pembangkang di negeri-negeri yang ditadbir UMNO dan Pas.

Mohamad berkata, cadangan berkenaan dibuat bagi menggambarkan pemuafakatan antara kedua-dua parti berkenaan setelah menandatangani Piagam Muafakat Nasional baru-baru ini.

"Apa yang perlu dibuat, salah satu saya cadangkan supaya kita tiada lagi ketua pembangkang. Kita tak bercakap lagi soal jawatan (lain). Itu cuma cadangan awal saya, supaya dapat menggambarkan permuafakatan tersebut.

"Kalau kita dah muafakat, tak ada lagilah pembangkang. Setakat itu dulu cadangan saya," katanya ketika menghadiri Ceramah Perdana Hijratul Rasul dan Penyatuan Ummah di Pasir Mas, Kelantan semalam.

Hadir sama Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Bagaimanapun, Mohamad tidak menjelaskan lanjut cadangannya mengenai negeri Perlis dan Pahang yang dikuasai Barisan Nasional (BN) tetapi masih mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dari Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod PH tidak mempunyai ADUN di Terenganu manakala bekas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada penghujung Oktober tahun lepas menjadi ADUN tunggal PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Tambah Mohamad Hasan, cadangan berkenaan akan memudahkan lagi urusan wakil rakyat antara kedua-dua parti kelak.

Artikel Berkaitan:

"Sama ada wakil rakyat BN di Kelantan atau wakil rakyat Pas di Pahang, mereka akan jadi wakil rakyat perpaduan ummah. Mereka dapat menjalankan tugas dan jaga hal ehwal rakyat sama seperti rakan-rakan yang lain," katanya.

Sementara itu ketika ditanya sejauh mana muafakat berkenaan dalam pentadbiran peringkat negeri, Mohamad menegaskan muafakat itu masih baharu di peringkat pembukaan seperti surah 'al-Fatihah'.

"Kita masih lagi di peringkat al-Fatihah. Jadi kita lancarkan al-Fatihah dan kemudian kita masukkan surah-surah yang lain.

"Kini baru peringkat kita tandatangani piagam, esok-esok kita akan melihat cara yang lebih mantap, apa selepas piagam," katanya.