GPMS bantah penutupan Uniten Kampus Muadzam Shah

Uniten Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah dikatakan bakal ditutup Jun tahun depan. - Foto Uniten. Gambar kecil: Muhammad Fikri
Uniten Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah dikatakan bakal ditutup Jun tahun depan. - Foto Uniten. Gambar kecil: Muhammad Fikri
A
A
A

KUANTAN - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang membantah penutupan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah yang dikatakan berkuat kuasa Jun tahun depan.

Pengerusinya, Muhammad Fikri Anuar berkata, penutupan kampus berkenaan bakal memberikan kesan kepada mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian selain memberikan masalah kepada mereka untuk menghabiskan pengajian dengan pertukaran ke kampus lain yang memerlukan kos lebih tinggi.

Menurutnya, keputusan penutupan itu juga secara tidak langsung mengganggu pembangunan negeri Pahang yang ingin menjadikan bandar Muadzam Shah sebagai hab pendidikan Pahang Tenggara.

“Amat rugi sekiranya perkara sedemikian berlaku kerana kita semua maklum Uniten sentiasa menjadi tumpuan antarabangsa dengan pelbagai ciptaan inovatif rekaan tenaga pengajar dan penuntutnya.

“Tambahan pula universiti ini tersenarai sebagai 20 universiti terbaik Asean dan 10 universiti terbaik di Malaysia tahun ini. Secara tidak langsung kewujudannya membantu mempromosikan daerah Muadzam Shah selain meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Fikri berkata, beliau difahamkan perkara itu diputuskan susulan keputusan Lembaga Pengarah Uniten yang bersidang pada 24 September lalu yang meluluskan pelaksanaan Pelan Integrasi dan Operasi Kampus Berpusat (penggabungan dua kampus menjadi satu entiti) di Putrajaya.

“Kami di GPMS Pahang merayu pada pihak pengurusan tertinggi Uniten supaya dapat duduk berbincang bersama kerajaan negeri agar mempertimbangkan semula keputusan berkenaan demi memastikan pengajian pelajar tidak terganggu dan secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat di Muadzam Shah," katanya.

Artikel Berkaitan: