FAM: Sudah terlewat cari pengganti Hong Kong

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad Harimau Malaya hanya akan mengharungi dua perlawanan antarabangsa berdepan Sri Lanka dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 5 Oktober ini, sebelum menentang Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya mungkin tidak dapat mencari pengganti pasukan lain untuk menentang skuad negara selepas membatalkan perlawanan dengan Hong Kong.

“Kami ada beri cadangan kepada Hong Kong dan menjemput mereka bermain di Stadium Bukit Jalil, tetapi mereka tidak berminat.

“Untuk mendapatkan pengganti dalam tempoh kalendar antarabangsa ini memang sukar. Hendak langsungkan sebelum perlawanan bertemu Sri Lanka pun tak boleh sebab waktu itu kita terikat dengan jadual Piala Malaysia,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau turut mengakui ia satu kerugian kepada pasukan negara kerana hanya menghadapi dua perlawanan antarabangsa tetapi perlu membuat keputusan membatalkan pertemuan dengan Hong Kong demi keselamatan.

“Kalau boleh FAM memang nak tiga perlawanan antarabangsa, tetapi apakan daya situasi di sana tidak mengizinkan. Kita pun tahu banyak kejohanan di sana selain bola sepak juga telah dibatalkan,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Stuart memaklumkan pihaknya dalam pertimbangan menghantar pencalonan gol ‘rabona’ jaringan pemain import PKNP FC, Yashir Pinto ke Anugerah Puskas.

Namun, beliau menjelaskan perkara itu akan diputuskan jawatankuasa teknikal FAM.

Artikel Berkaitan: