X

Kindly register in order to view this article
!

Sasar 100 juta pelancong: Arab Saudi lancar visa baharu

Gambar hiasan - Foto EPA
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Arab Saudi pada Jumaat melancarkan visa pelancongan baharu sebagai usaha mempelbagai sumber ekonomi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak, selaras dengan agenda Wawasan 2030.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) yang dikeluarkan melalui Kedutaan Besar Arab Saudi di sini hari ini kepada Bernama, pelancaran visa pelancongan baharu itu dijadual petang ini. (Jumaat, waktu Arab Saudi) di bandar Ad Diriyah, Riyadh.

SCTH berkata, inisiatif tersebut mampu menarik ramai pelancong dari seluruh pelusuk dunia berkunjung ke negara teluk yang mempunyai pelbagai tarikan pelancongan termasuk lima tapak warisan dunia UNESCO, Laut Merah dan padang pasir Rub' al Khali.

Menurut SCTH, visa pelancongan itu terbahagi dua iaitu Visa Sebaik Tiba (VOA) dan permohonan melalui kedutaan Arab Saudi di setiap negara.

Kemudahan visa VOA membolehkan rakyat dari 49 negara memohon visa pelancongan mereka tanpa perlu rujukan kedutaan.

Pelancong dari negara lain selain daripada 49 negara berkenaan, boleh memohon visa pelancong baharu Arab Saudi itu melalui mana-mana perwakilan Arab Saudi di luar negara.

Antara negara yang layak memohon VOA itu ialah 38 negara eropah termasuk Austria, Belgium, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, Iceland, Itali, Latvia, Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, Norway, Poland, Portugal, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Ireland, Monaco, Andorra, Rusia, Montenegro,San Marino, Ukraine, England, Bulgaria, Romania, Croatia dan Cyprus.

Sembilan negara Asia yang layak ialah Brunei, Jepun, Singapura, Malaysia, Korea Selatan, Kazakhstan, China, Australia dan New Zealand.

Dua negara dari Amerika Utara pula ialah Amerika Syarikat dan Kanada.

Menurut kenyataan SCTH itu, jumlah kos setiap visa pelancong tersebut adalah sebanyak SR440 (RM491) termasuk SR140 (RM156) untuk insurans perubatan dengan perlindungan rawatan sebanyak SR100 ribu (RM112 ribu).

Tempoh sah laku visa adalah setahun dari tarikh pengeluaran dan pelancong dibenar tinggal selama tiga bulan untuk setiap lawatan.

Pemohon visa ini tidak memerlukan penyediaan tiket pulang atau surat tempahan hotel dan boleh digunakan untuk menunaikan umrah.

Visa berkenaan akan diproses di kaunter imigresen di enam pintu masuk yang ditetapkan Arab Saudi iaitu Lapangan Terbang Raja Khalid di Riyadh, Lapangan Terbang King Abdulaziz di Jeddah, Lapangan Terbang Raja Fahd di Dammam, Lapangan Terbang Putera Mohammed Bin Abdulaziz di Madinah, Pintu Sempadan Raja Fahad dan Pintu Sempadan Al Batha.

Proses mendapatkan VOA di kaunter imigresen berkenaan mengambil masa dalam lingkungan lima hingga 30 minit.

Bagaimanapun, pelancong bukan Islam yang menggunakan visa baharu berkenaan tidak dibenarkan memasuki Makkah dan Madinah.

Pelancong berumur kurang dari 18 tahun sekiranya bersendirian juga tidak layak memohon.

Menurut SCTH, melalui pelancaran visa itu, Arab Saudi mensasarkan peningkatan bilangan kedatangan pelancong antarabangsa dan domestik sehingga 100 ribu setahun menjelang 2030.

“Menjelang 2030, (kami) menyasarkan sektor pelancongan menyumbang kira-kira 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berbanding tiga peratus ketika ini,” kata kenyataan itu.

Menurut SCTH lagi, kerajaan Arab Saudi telah membelanjakan berbilion dolar bagi memperbaiki infrastruktur dan pembangunan tapak warisan, kebudayaan dan rekreasi di negara itu sebagai persediaan menerima kebanjiran pelancong. - Bernama