Program HIP Mentor diperluas tahun depan: Maszlee

Maszlee Malik (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen & Shah Alam Siti Suaibah S Said (dua dari kanan) bersama mentor (HIP) Dr Masturah Alias (kanan) pada Program Minum Petang bersama Menteri Pendidikan dan Penyampaian Sijil Penghargaan Program Pengukuhan Persekitaran Dwibahasa Sekolah Dibawah Highly Immersive Programme (HIP) di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) hari ini. Turut kelihatan, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin (kiri). -FOTO: BERNAMA
Maszlee Malik (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen & Shah Alam Siti Suaibah S Said (dua dari kanan) bersama mentor (HIP) Dr Masturah Alias (kanan) pada Program Minum Petang bersama Menteri Pendidikan dan Penyampaian Sijil Penghargaan Program Pengukuhan Persekitaran Dwibahasa Sekolah Dibawah Highly Immersive Programme (HIP) di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) hari ini. Turut kelihatan, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin (kiri). -FOTO: BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Program Highly Immersive Programme Mentor (HIP Mentor) yang bertujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah akan diperluaskan ke lebih banyak sekolah pada tahun hadapan, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, projek rintis HIP mentor yang melibatkan 28 mentor yang terdiri daripada guru Bahasa Inggeris yang telah pencen diadakan di 27 sekolah terpilih selama tiga bulan bermula Julai lepas.

Seramai 15 mentor ditempatkan di sekolah di Selangor, Negeri Sembilan (lima mentor), Perak dan Sarawak masing-masing dua mentor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sabah.

"Tahun hadapan kami akan meluaskan lagi program HIP Mentor ini di sekolah serata Malaysia dan berharap lebih ramai lagi guru-guru pencen Bahasa Inggeris dapat membantu menjadi mentor kami.

"Mereka ini saya gelar superhero mentor kerana mereka telah mengorbankan masa secara sukarela dan percuma untuk membantu (program)," katanya kepada media selepas majlis penyampaian Sijil Penghargaan Program Pengukuhan Persekitaran Dwi Bahasa Sekolah di bawah Highly Immersive Programmes (HIP) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru pencen yang terlibat dalam HIP Mentor itu Maszlee berkata, kementerian akan berusaha mendapatkan beberapa insentif seperti bayaran elaun kepada mereka.

"Mereka perlu diberi ganjaran selayaknya. Kami juga memerlukan dukungan dari pihak swasta dalam membantu kami menjayakan program ini," katanya.

Maszlee berkata, program itu menunjukkan keberkesanannya yang melalui laporan tidak rasmi yang dihantar kepadanya menunjukkan pelajar berminat dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka berjaya mendapatkan pelajar untuk terlibat dalam semua aktiviti dalam bahasa Inggeris dan tahap keyakinan mereka dalam perbualan dan menulis dalam Bahasa Inggeris telah bertambah baik berbanding sebelum program itu,” katanya.

Mengenai perkembangan penggabungan antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Maszlee berkata, proses libat urus sedang berjalan mengikut jadual.

Beliau berkata, jawatankuasa penggabungan, yang dianggotai wakil dari kementerian dan kedua-dua universiti sedang melakukan segala proses yang berkaitan bagi memastikan apa yang dirancang dapat dilaksanakan.

"Mereka sedang melakukan segala proses libat urus di semua peringkat iaitu ahli lembaga pengarah, pengurusan tertinggi yang sebenarnya sudah berlaku.

"Proses ini akan berlaku di peringkat kakitangan, pelajar dan semua pemegang taruh. Apa yang saya dapat pastikan ia berjalan mengikut jadual," katanya. - Bernama