Peranan lain abang lori

Antara peserta yang menyertai Event Autoshow Lori anjuran Group Lori Zon Selatan 2018 di Felda Pasak.
Antara peserta yang menyertai Event Autoshow Lori anjuran Group Lori Zon Selatan 2018 di Felda Pasak.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bersama komuniti lori yang kini mempunyai jumlah keahlian mencecah ratusan ribu dalam usaha menggerakkan program melibatkan kemasyarakatan.

Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muhammad Fadzli Hasan berkata, beliau dimaklumkan persatuan lori yang terdapat dalam Malaysia sehingga kini mencecah lebih 200 persatuan.

“Hasil perbincangan dengan mereka, kita lihat kerajaan dan NGO perlu bersama komuniti ini kerana sebelum ini mereka banyak anjurkan program membantu pembangunan.

“Selain itu, komuniti ini juga berperanan untuk bersama kerajaan memberi kesedaran kepada pemandu lori tentang perundangan dan sebagainya.

“Kita lihat komuniti ini perlu disantuni dan perlu dilibatkan dalam setiap program daerah negeri atau negara,” katanya selepas merasmikan Event Autoshow Lori anjuran Group Lori Zon Selatan 2018 di Felda Pasak.

Terdahulu, program pertama kali dianjurkan di Kota Tinggi mendapat sambutan meriah apabila lebih 300 peserta dari seluruh negara termasuklah Terengganu dan Kelantan hadir pada majlis itu.

Muhammad Fadzli yang juga Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) berkata, pihaknya akan memberikan komitmen pada sambutan Hari Belia Negara di mana akan menjemput komuniti lori berkenaan untuk bersama-sama menjayakan majlis tersebut.

“Jika kita kumpulkan semua ahli komuniti lori dalam Malaysia ada 100,000 ahli. Mana-mana NGO, badan kerajaan dilihat perlu bersama mereka untuk aktiviti dan program,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengerusi Group Lori Zon Selatan, Razuli Seman berkata, dia tidak menyangka sambutan diterima amat memberangsangkan.

Katanya, aktiviti itu tidak lain adalah untuk mengeratkan silaturahim selain merapatkan hubungan dengan beberapa kelab lori yang sedia ada.