Gangguan sistem KLIA: MAHB dapatkan khidmat pakar dari India

Noor Azam Jamaludin
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sudah mendapatkan khidmat kepakaran CyberSecurity dari India untuk mengenal pasti punca gangguan sistem yang dialami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ogos lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya masih menunggu laporan pakar tersebut.

"Siasatan bagi pihak polis telah selesai. Tapi pihak MAHB telah dapat khidmat pakar dari India CyberSecurity untuk lihat sama ada wujud atau tak elemen tersebut.

"Lepas hasil maklumat diterima, kita akan lihat sama ia berlaku disebabkan sabotaj atau sebaliknya," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: KLIA kembali normal selepas gangguan sistem tiga hari

Terdahulu, polis mengesahkan sudah mengambil keterangan daripada 70 individu berhubung kes berkenaan.

Pada 21 Ogos lalu, kegagalan Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) di KLIA menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kegagalan sistem KLIA, MAHB buat laporan polis

Gangguan sistem KLIA: Polis akan panggil beberapa lagi individu

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Arjunaidi Mohamed dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Selangor.

Arjunaidi menggantikan jawatan Datuk Ab Rashid Ab Wahab yang bersara wajib pada 30 September ini.