Polis siasat, cari pihak terlibat kematian Adib: KPN

Abdul Hamid Bador. - Foto Rosli Talib
Abdul Hamid Bador. - Foto Rosli Talib
A
A
A

ARAU - Polis akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat dan mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kematian Pegawai Bomba (PB) Muhammad Adib Mohd Kassim, susulan keputusan inkues yang diumumkan Mahkamah Koroner, Shah Alam hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perbincangan akan dilakukan bersama pegawainya di Bukit Aman bagi menentukan langkah seterusnya termasuk sama ada akan memanggil semula beberapa individu pernah ditahan berhubung perkara itu sebelum ini.

"Sebelum ini kita telah berpuas hati bahawa tidak ada bukti untuk kita mengenakan tuduhan atas sesiapa, buktinya tidak cukup.

"Tetapi sekiranya mahkamah memutuskan ada unsur-unsur jenayah (berkaitan kematian Muhammad Adib) maka kita akan semak kembali," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia tahun 2019 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor tahun lalu adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Mahkamah Koroner juga merumuskan kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

Ditanya mengenai rumusan itu, Abdul Hamid berkata, pihaknya akan mengenal pasti sama ada prosedur operasi standard (SOP) polis dalam mengawal rusuhan dipatuhi atau sebaliknya pada kejadian tersebut.

"SOP sudah ada. Sama ada dipatuhi atau tidak itu yang boleh disemak mengapa SOP tidak dipatuhi (jika ada). Tapi SOP itu tidak perlu diubah, ia cukup dan saya tidak nampak keperluan untuk mengubahnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru semua pihak supaya menerima keputusan inkues tersebut dan memberi amaran supaya tiada pihak yang melakukan demonstrasi atau rusuhan.

Menurutnya, walaupun beliau yakin perkara itu tidak akan berlaku, namun pihaknya bersiap sedia akan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terbabit.

"Saya yakin tidak sampai tahap itu dan polis sudah bersedia. Kita sudah bincang mengenai perkara itu tapi kita yakin tidak sampai ke tahap itu.

"Kalau sudah terima keputusan mahkamah ikutlah keputusan mahkamah, kenapa perlu yang berarak atau merusuh," katanya. - Bernama