Tuan rumah lawan 4 perompak

Rakaman CCTV menunjukkan Asif bergelut dengan perompak yang cuba memecah masuk rumahnya. - Foto AGENSI
Rakaman CCTV menunjukkan Asif bergelut dengan perompak yang cuba memecah masuk rumahnya. - Foto AGENSI
A
A
A

LONDON - Seorang lelaki di United Kingdom menerima pujian atas keberaniannya melawan empat orang perompak yang cuba memecah masuk ke kediamannya di Bamford, Greater Manchester yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ia tular di media sosial.

Kejadian berlaku sekitar jam 9.15 malam (waktu tempatan) pada Selasa.

Dalam rakaman berkenaan, Asif Ali dilihat meluru ke pintu masuk utama rumahnya untuk berdepan dengan seorang individu memakai topeng.

Individu itu melepaskan satu tumbukan namun sempat dielak Asif, sebelum ejen hartanah berusia 35 tahun itu membalas dengan tumbukan bertubi-tubi.

Beberapa saat selepas itu, dua lagi individu bertopeng muncul namun turut menerima tumbukan padu Asif sebelum kesemua mereka berjaya ditolak keluar daripada rumahnya.

Namun, kumpulan penyerang terbabit enggan menyerah kalah dan sekali lagi cuba memecah masuk ke rumah pemuda tersebut.

"Segalanya berlaku dengan pantas. Saya meluru ke dapur dan ambil garfu sebelum kejar mereka sehingga ke pekarangan rumah.

"Di luar rumah, terdapat seorang lagi lelaki bertopeng menjadikan jumlah keseluruhan mereka empat orang.

Artikel Berkaitan:

"Mereka bertempiaran lari selepas isteri saya menghubungi talian kecemasan," katanya.

Sebelum kejadian, isterinya, Charlotte sedang tidur di tingkat atas.

Sementara itu, polis mengesahkan mereka sudah menerima laporan berkaitan cubaan merompak.

"Masih tiada tangkapan. Siasatan masih dijalankan," menurut kenyataan polis.

Asif turut menawarkan ganjaran £5,000 (RM25,889) kepada mana-mana individu yang berjaya mengesan penyerang terbabit. - Agensi